Mohamad Fahd Rahmat

Tiba saja Ramadan, ramai yang mengeluh kononnya ‘dilanda’ gastrik, menyebabkan mereka tidak dapat berpuasa.

Bukan itu saja, Ramadan juga menjadi medan menguji nafsu makan melalui pelbagai juadah dijual di bazar selain bufet yang disediakan di restoran atau hotel.

Bulan yang sepatutnya menjadi medan meningkatkan amal ibadat kepada Allah SWT akhirnya menjadi gelanggang pemuas nafsu sehinggakan ibadat seperti solat Tarawih hanya tinggal niat.

Bagi mengulas isu ini, wartawan Metro Ahad, Mohamad Fahd Rahmat bersama jurugambar, Salhani Ibrahim dan juruvideo, Khairus Ramli menemu bual pakar kesihatan, Dr Hanafiah Bashirun untuk penjelasan lanjut.

GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

Apakah jenis makanan terbaik ketika berpuasa?

Secara umumnya, tidak kira Ramadan atau sebaliknya, kita perlu menuruti piramid makanan.

Lebih baik yang banyak fiber, diikuti protein, daging dan sebagainya. Paling perlu dikurangkan adalah kanji, gula dan lemak. Air juga penting khasnya ketika berpuasa. Secara umumnya, bagi dewasa, kita perlu meminum 2.5 liter air sehari.

Bagaimana dengan pemilihan makanan untuk sahur dan berbuka?

Tip paling penting untuk bersahur ialah, jika hendak tahan lama seperti hendak pastikan kita kenyang dalam tahap yang lama, banyakkan makan makanan yang mengandungi fiber seperti buah-buahan dan sayur-sayuran, daging atau ketulan daging.

Begitu juga dengan air sewaktu sahur, kita perlu ambil lebih daripada dua liter supaya dapat bertahan hingga ke waktu berbuka puasa.

Untuk berbuka puasa, kita dinasihatkan mulakan dengan makanan yang manis kerana sehingga ke hujung puasa, kandungan gula dalam badan semakin rendah.

Kita perlu isi semula gula yang hilang. Contoh paling utama dan kaya adalah kurma kerana itu kita disunatkan memakannya kerana buah ini kaya dengan zat dan gula.

Berpuasa adalah waktu terbaik untuk kita bermuhasabah, maksudnya menjaga diri daripada makan berlebihan. Mohon perincikan doktor.

Kalau dilihat, sepanjang Ramadan, memang kita perlu mengawal nafsu makan. Secara purata di Asia, kedudukan kadar obesiti adalah tertinggi dan Ramadan paling sesuai untuk kita mengawal tahap pemakanan. Ramadan sesuai untuk menjaga diet, sekurang-kurangnya, kita dapat kawal diet untuk sebulan dalam setahun.

Apa makanan yang perlu dielak?

Elakkan minuman yang tinggi dengan gula dan kafein seperti minuman bergas selain kopi.

Ini kerana, kedua-duanya akan menyebabkan darah kita lebih pekat dan likat. Apabila ia berlaku, badan kita lebih senang kering atau dehidrasi. Perkara ini kita kena elakkan selain daripada makanan yang diharamkan dalam Islam.

Berbuka puasa di Malaysia antara paling meriah, bagaimana doktor melihat kesannya dalam konteks kesihatan?

Saya bersetuju dan saya rasa perkara ini memang menakutkan. Kita ambil contoh di bazar Ramadan, cara masakan mereka saya tak nafikan berminyak, berlemak selain bergula.

Pada saya, kita kena muhasabah, apa tujuan kita berpuasa. Sepatutnya, kita hanya beli satu atau dua juadah di bazar Ramadan. Ini tidak, akhirnya kita beli pelbagai juadah sehingga akhirnya tidak semua itu dimakan dan berlaku pembaziran.

Apa tip untuk mengelakkan masalah kesihatan seperti gastrik yang biasa kita dengar sepanjang Ramadan?

Gastrik boleh berlaku kerana perut kita kosong untuk tempoh 10 hingga 11 jam kerana tiada makanan untuk dihadam.

Ada beberapa tip untuk mereka yang menghidap gastrik.

Individu terbabit perlu memakan ubat sewaktu sahur dan berbuka puasa, sekurang-kurangnya ia dapat mengelakkan jus usus daripada keluar dengan banyak sepanjang perut kosong.

Seterusnya, berbalik kepada makanan yang saya rujuk di atas, pastikan memakan makanan yang boleh tinggal lama dalam perut atau usus seperti fiber dan daging.

Tip ketiga ialah kurangkan makanan pedas ketika berbuka. Tip seterusnya ialah hentikan aktiviti merokok serta meminum minuman bergas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 2:00 PM