SEBAHAGIAN kapal layar beraksi pada hari ketiga Kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi ke 17 di Royal Langkawi Yacht Club, Kuah. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
SEBAHAGIAN kapal layar beraksi pada hari ketiga Kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi ke 17 di Royal Langkawi Yacht Club, Kuah. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Sukhairi Thani


LANGKAWI: Impian pelayar negara, Khairulnizam Mohd Afendy untuk belayar menggunakan bot daripada reka bentuk 'TP52 series' tercapai di di kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2019.

Khairulnizam yang sudah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Jepun 2020 menyertai pasukan pendahulu dalam kelas Racing, Hollywood-Provezza yang dikemudi pelayar berpengalaman dari Australia Ray Roberts.

"Ini kali pertama menyertai (pasukan) Hollywood. Pengalaman yang bagus untuk saya kerana mereka mempunyai bot yang baik.

"Saya amat meminati bot ini dan memang saya ingin menaikinya, jadi cita-cita saya tercapai di Langkawi. Setakat ini, keputusan pun bagus dan saya gembira," kata Khairulnizam.

"Banyak beza dengan apa yang saya selalu main. Laser dan bot besar memang berlainan kerana di sini kerjasama antara kru kena baik.

"Sekiranya melakukan kesilapan, kita akan ketinggalan. Banyak perkara yang dipelajari, belajar mengenai permulaan perlumbaan, perancangan dan membuat keputusan."

Pasukan ini turut disertai adik Khairulnizam, Khairunhanna dan sebelum ini, Roberts menyifatkan kedua-dua adik-beradik ini banyak membantu pasukan untuk mengetahui keadaan air di Langkawi.

"Penerimaan mereka sangat bagus dan profesional. Mereka mengajar... jadi mereka sentiasa memberitahu apa yang perlu dilakukan. Kalau terlupa, mereka akan terus mengingatkan.

"Itu sesuatu yang bagus, tidak marah-marah. Bagi saya mereka menikmati (keadaan di Langkawi), mereka belayar dan gembira," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 4:25 PM