PESERTA pameran bergambar kenangan dengan pensyarah sempena Pameran Seni Visual di IPG Kampus Sultan Mizan.
PESERTA pameran bergambar kenangan dengan pensyarah sempena Pameran Seni Visual di IPG Kampus Sultan Mizan.
Teks dan gambar Mohammad Ishak .

[email protected].

Seni adalah satu saluran luahan bagi melahirkan cita rasa penggiatnya kerana melalui kesenian ia mampu diterjemahkan dengan pelbagai tafsiran ilmu yang tersirat dan tersurat.

Pameran Seni Visual bertemakan 'The Art Of Soul' anjuran Unit Pendidikan Seni Visual Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan, Besut, Terengganu, baru-baru ini bukan sekadar satu pameran, malah ia satu luahan emosi halus yang berpe­ngertian tinggi oleh pengkarya.

Usaha pihak terbabit menganjurkan program yang julung kali diadakan di institut itu menarik minat lebih 2,000 pe­ngunjung bukan saja di kalangan pelajar, malah ibu bapa serta peminat karya seni tempatan.

Pameran tiga hari di Dewan Bendahara IPG itu memberi peluang peminat seni menyaksikan pelbagai hasil karya seni yang dicetuskan pelajar dan pensyarah.

Ketua Unit Pendidikan Seni Visual IPG, Kampus Sultan Mizan, Zakaria Awang berkata, sempena pameran itu pihaknya mempamerkan 74 jenis arca dan lukisan berbentuk tradisional Melayu hasil karya 60 pelajar dari institut itu.

Beliau berkata, sepanjang tempoh pameran, 30 hasil karya yang diusahakan pelajar dijual kepada pengunjung dan karya tertinggi terjual ialah sebuah lukisan bernilai RM5,000.

"Sebuah karya lukisan yang menggambarkan Sultan Terengganu sedang menaiki kuda adalah karya paling mahal dipamerkan dengan nilai RM50,000 yang dilukis pensyarah IPG ini," katanya.

Katanya, pameran itu bertujuan memartabatkan bidang seni selain melahirkan lebih ramai peng-giat seni dari pusat pendidikan sekali gus bakal berada dalam arus perdana bersaing dengan penggiat seni di negara ini.

"Ia juga salah satu cara bagi menyokong pendidik untuk kemajuan kerjaya terutama dalam bidang menghasilkan karya seni bermutu tinggi.

"Karya yang terpilih dalam kalangan warga pendidik menjadi tatapan masyarakat dan diharapkan dapat meningkatkan semangat mereka untuk menghasilkan karya seni yang kreatif," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Putera, Mohd Mahdi Musa yang merasmikan pameran itu kagum dengan karya seni pelajar terbabit dan menyifatkan ia satu usaha berani menonjolkan kebolehan pelajar dalam bidang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 5:00 AM