KARYA dihasilkan melalui pengalaman peribadi pelukis di Catia La Mar, Venezuela.
KARYA dihasilkan melalui pengalaman peribadi pelukis di Catia La Mar, Venezuela.
KARYA bertajuk ‘Belantara Cinta’ dihasilkan menggunakan medium inai di atas kanvas.
KARYA bertajuk ‘Belantara Cinta’ dihasilkan menggunakan medium inai di atas kanvas.
Nor Hanisah Kamaruzaman


Menarik dan memukau. Itulah yang dapat penulis gambarkan sewaktu meluangkan masa menghayati karya seni yang dipamerkan di Balai Seni Visual Negara (BSVN), baru-baru ini.

Pameran di Creative Space BSVN itu menampilkan lukisan istimewa lebih 30 artis yang setiap satunya menyimpan cerita dan pengalaman pelukis tersendiri.

Penonton pasti tidak jemu menghayati hasil seni yang bukan saja meraikan keunikan diri, malah menampilkan pelbagai variasi genre dan medium.

Lebih 80 karya diketengahkan adalah hasil seni artis daripada lima entiti terdiri dari tiga galeri iaitu Artemis Art, Lua Gallery dan Titik Merah serta dua kumpulan seni, Malaysian Naive Art Group dan WOW Kolektif.

Pameran bertajuk Dengan Cara Kita 2016 itu bertujuan memperkenalkan karya berkumpulan artis yang menggelar diri mereka ‘outsider’ atau ‘artis di luar lingkaran’ kerana tidak pernah mendapat bimbingan dan latihan seni secara formal.

Nama pameran diambil daripada mesej dan tanda penghormatan kepada setiap individu yang memilih hidup dan mengekspresikan diri dengan cara tersendiri.

Bagi penggemar dan pengumpul seni, nama artis berkenaan mungkin kurang dikenali, namun mereka tidak pernah serik kerana penjualan karya bukan agenda utama.

Pameran sehingga 10 Julai ini terbuka kepada orang ramai dan masuk percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2016 @ 6:34 AM