ARCA daripada seramik bertajuk ‘Mother’ hasil karya Jasmine Kok.
ARCA daripada seramik bertajuk ‘Mother’ hasil karya Jasmine Kok.
TIARMA Sirait dari Indonesia menghasilkan karya bertajuk ‘Pink Dress, Gloomy Mood on a Day Trip’.
TIARMA Sirait dari Indonesia menghasilkan karya bertajuk ‘Pink Dress, Gloomy Mood on a Day Trip’.
‘SNOW PATH’ karya seni percetakan kayu oleh Vu Bach Lien dari Vietnam.
‘SNOW PATH’ karya seni percetakan kayu oleh Vu Bach Lien dari Vietnam.
KARYA artis dari Thailand, Sudrak Khongpuang menggunakan cat minyak di atas kanvas.
KARYA artis dari Thailand, Sudrak Khongpuang menggunakan cat minyak di atas kanvas.
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman


Hari Wanita Sedunia disambut pada 8 Mac setiap tahun di seluruh dunia untuk memberi pengiktirafan terhadap pencapaian golongan itu tanpa mengira bidang dan sempadan.

Sempena sambutan itu, Galeri Artemis Art mengadakan pameran yang menampilkan 22 artis wanita dari sembilan negara termasuk Malaysia.

Pameran itu bukan saja menonjolkan bakat wanita sebagai pengkarya seni, malah menyampaikan mesej khas kepada golongan hawa itu.

Tema pameran, ‘Equilibrio’ dipilih daripada bahasa Sepanyol yang bermaksud keseimbangan bertujuan memberi penekanan kepada pelbagai masalahan dihadapi wanita.

Tema itu dipilih bagi menampilkan kegigihan wanita mencari keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan peribadi selain mengimbangi pelbagai permintaan terhadap peranan dan pandangan masyarakat kepada wanita.

Ia juga untuk memberi pengiktirafan serta meraikan peranan penting wanita terutama dalam dunia seni.

Semua artis berusaha menyuarakan perasaan dan isi hati melalui pelbagai bentuk seni visual seperti lukisan, percetakan dan arca.

Medium yang digunakan adalah pelbagai antaranya akrilik, cat minyak, kayu dan seramik.

Seramai 10 artis tempatan mengambil bahagian dalam pameran berkenaan iaitu Andrialis Abdul Rahman, Eddie Choo, Jasmine Kok, Koo Yean Ni, Lyia Meta, Ony Jamsari, Viko Zhijune, Vivi Kartina Hazolene, Winnie Cheng dan Yasmeen Cheong.

Artis lain ialah Huong Nguyen Thu (Vietnam), Vu Bach Lien (Vietnam), Ayu Arista Murti (Indonesia), Laksmi Shitaresmi (Indonesia), Tiarma Sirait (Indonesia), Karma Sirikogar (Thailand), Sudrak Khongpuang (Thailand), Elena Kravchenko (Russia), Jael Estrella (Perancis), Lhean Villanueva (Filipina), Mariyam Shany Ahmed (Maldives) dan Veronika Neukirch (Jerman).

Pameran yang berlangsung sehingga 8 Mac ini dibuka setiap hari bermula jam 11 pagi hingga 7 malam. Maklumat lanjut di www.­artemisartgallery.com.

INFO

EQUILIBRIO

- Artis: Berkumpulan (22 artis wanita)

- Jumlah karya: 36

- Lokasi: Galeri Artemis Art, Tingkat G4 Publika Shopping Gallery

- Tarikh: Sehingga 8 Mac

- Masa: 11 pagi hingga 7 malam

- Telefon: 019-664 7088 (S Jamal)

- Web: www.artemisartgallery.com

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 1:04 PM