Oleh Roslen Fadzil.

Ketika Festival Filem Malaysia pertama (FFM1) diperkenalkan pada 1980, saya masih lagi bersekolah. Ketika itu saya hanya memandang dari jauh sebagai seorang peminat filem dengan terbit perasaan bangga industri hiburan kita akhirnya mempunyai festival filem anjuran orang kita sendiri.

Maklumlah sebelum itu saya lebih didedahkan dengan mengagumi Academy Awards atau Oscar kerana ia sudah lama diwujudkan di Hollywood bagi mengiktiraf karya, tenaga produksi dan bakat-bakat lakonan.

Jadi pada 1980 barulah saya melihat kegemilangan FFM1 di kaca TV serta halaman majalah hiburan terkenal seperti Utusan Filem & Fesyen (UFF) dan URTV selain akhbar Berita Harian yang dilanggan keluarga di Kedah.

Lebih menarik, generasi zaman sekarang mungkin tidak tahu bahawa FFM1 dianjurkan dengan jayanya di Kuala Lumpur oleh Persatuan Hiburan Malaysia atau Entertainment Journalist Association (EJA), diketuai Allahyarham Datuk Khalid Jefri dan Allahyarham Norshah Thamby.

Menariknya majlis pembukaan FFM1 dirasmikan bekas Menteri Penerangan, Allahyarham Datuk Mohamed Rahmat sementara acara penutup bergelar Malam Merak Kayangan pula oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu menjawat tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Perdagangan dan Perindustrian.

Masih saya ingat, Malam Merak Kayangan yang berlangsung di Nirwana Ballroom, hotel Hilton KL begitu meriah. Acara itu menjadi detik bersejarah buat filem Tiada Esok Bagimu arahan Tan Sri Jins Shamsudin apabila diumumkan sebagai Filem Terbaik.

Dari sisi lakonan, Allahyarham Seniwati Azean Irdawaty dijulang sebagai Aktres Terbaik (Esok Masih Ada) manakala Tan Sri Jins sendiri diangkat sebagai Aktor Terbaik (Tiada Esok Bagimu). Itu satu sejarah yang sekurang-kurangnya perlu diingat oleh semua mereka yang bergelar anak wayang di Malaysia.

Daripada 1980, FFM terus bergerak dari setahun ke setahun dengan menyaksikan filem lain dimasyhurkan sebagai karya terbaik. Dia Ibuku muncul sebagai Filem Terbaik pada FFM2, disusuli Bukit Kepong, Ranjau Sepanjang Jalan, Matinya Seorang Patriot, Tsu-Feh Sofiah, Rahsia, Hati Bukan Kristal, Selubung & Bintang Malam, Perempuan Isteri dan... , Sayang Salmah, Layar Lara dan Jogho.

Ini disambung lagi dengan keunggulan Leftenan Adnan, KL Menjerit, Paloh, Sepet, Gubra, Cinta, Kala Malam Bulan Me-ngambang, Papadom, Magika, Hikayat Merong Mahawangsa, Bunohan dan yang terbaru semalam, KIL.

Dari segi penganjuran FFM, memang tidak pernah sunyi daripada kontroversi. Usah lupa bahawa tiada pemenang bagi kategori Filem Terbaik pada FFM8 (1989) walaupun pada tahun itu ada filem yang dianggap menarik seperti Yassin dan Anak Sarawak.

Selain itu, pada 1991 pula, dua filem Selubung dan Bintang Malam berkongsi trofi untuk Filem Terbaik. Itulah antara kepelikan jarang berlaku walaupun dalam sejarah Oscar di Hollywood, Katherine Hepburn (The Lion in Winter) dan Barbra Streisand (Funny Girl) pernah berkongsi trofi pada 1969 namun bagi kategori Aktres Terbaik.

Di samping itu, dalam FFM yang terdahulu, pernah berlaku krisis penganjuran membabitkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) namun akhirnya berjaya dirung-kaikan dengan positif.

FFM tetap relevan

Tahun ini FFM26 dianjurkan sepenuhnya oleh FINAS dan majlis itu nampaknya berjalan de-ngan lancar. Selepas acara pembukaan di Hotel Empire, Subang Jaya yang kelihatan lebih eksklusif berbanding di konkus The Curve pada tahun sebelumnya, malam kemuncak buat pertama kalinya berlangsung di Kompleks RTM, Sungai Gadut, Negeri Sembilan.

Meskipun jauh di luar Kuala Lumpur, saya kira pemilihan lokasi itu dibuat kerana ia memiliki auditorium yang agak besar selain mendapat sokongan padu daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Cuma secara secara keseluruhan, acara itu dikritik suram kerana terpaksa bersaing pula dengan final Piala Malaysia 2014 malam kelmarin.

Saya perhatikan gandingan Fahrin Ahmad dan Fazura tidak 'all-out' semacam terlalu berhati-hati. Jenaka mereka tidak disambut dengan responS penonton yang rata-ratanya sangat pasif. Di sinilah pentingnya pengacara untuk mengejutkan penonton agar ceria dan bersemangat.

Rekaan pentas kelihatan cantik namun cuma satu skin besar saja ditempatkan di tengah pentas menyebabkan pandangan mereka yang duduk di kiri kanan pentas tentu terlindung oleh rekaan set.

Bagi saya kemunculan Fauziah Nawi dan Soffi Jikan menghidupkan sedikit suasana suram selain deklamasi sajak luahan anak seni oleh Fauziah Ahmad Daud yang menggegarkan auditorium itu. Persembahan nyanyian yang bagus cuma terlihat pada Hafiz dan Alyah bersama sketsa Bujang Lapok oleh Rahim, Tauke dan Yus Jambu.

Dari segi keputusan semua-nya sudah muktamad. Juri mempunyai 1,001 alasan kenapa memilih KIL berbanding Sembunyi: Amukan Azazil, Rock Oo!, Penanggal dan Kl Gangster 2. Saya beranggapan kerana tema depresi manusia yang dipaparkan dan diikat dengan aspek pembikinan yang jelas, yakni paling kurang 'lompang' dari sudut perjalanan kisah dan plot.

Soalnya sekarang, selepas 26 kali dianjurkan, apakah filem kita benar-benar hebat? Apakah yang mampu kita lakukan untuk membolehkan Filem Terbaik Malaysia bukan saja terbaik di mata juri profesional tetapi juga hebat dalam carta 'box-office'?

Bilakah juga filem kita dengan mudah akan dapat menembusi pasaran antarabangsa dan menjadi bualan masyarakat luar? Saya jenis manusia yang suka berbaik sangka. Saya yakin masanya akan tiba cuma karyawan seni kita kena terus berusaha hasilkan karya dengan asli, bijak dan kreatif dan bersifat global. Kerajaan juga dilihat semakin menyokong industri kreatif tempatan dan terbukti dengan peruntukan demi peruntukan berjumlah ratusan juta ringgit pada setiap tahun bagi membangunkan industri kandungan kreatif di negara ini. Jadi terserahlah kepada kebijaksanaan penggiat seni kita untuk merebut peluang ini-[email protected]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 5:00 AM