SHARON Paul menang anugerah untuk Skor Muzik Terbaik (Tanda Putera).
SHARON Paul menang anugerah untuk Skor Muzik Terbaik (Tanda Putera).
ELLIE Suriaty menang Anugerah Pengarah Harapan.
ELLIE Suriaty menang Anugerah Pengarah Harapan.
Oleh Nor Akmar Samudin


Subang Jaya: Anugerah Pengarah Harapan Festival Filem Malaysia ke-26 (FFM26) dimenangi Ellie Suriaty Omar menerusi filem arahan sulungnya, Penanggal.

Filem terbitan bersama Astro Shaw dan Grand Brillance Sdn Bhd itu juga meraih kategori Penataan Seni Terbaik.

"Kejayaan ini bukanlah hasil kerja saya seorang sebaliknya banyak dibantu semua pelakon dan tenaga produksi di belakang tabir," katanya ketika berucap.

Pemenang lain malam tadi adalah Anugerah Poster Terbaik (KIL), Anugerah Penataan Seni Terbaik (Penanggal), Anugerah Pereka Busana Terbaik (Tanda Putera), Anugerah Skor Muzik Asal Terbaik (Tanda Putera), Anugerah Penataan Bunyi Terbaik ( Kl Gangster 2), Anugerah Lagu Tema Asal Terbaik (Aku Datang / Tomok), Anugerah Penggiat Belakang Tabir (Ali Hussein), Anugerah Pelakon Kanak- Kanak Terbaik (Rayqal Iskandar / Aji Boy) dan Anugerah Filem Pendek Terbaik (Jahit).

Bagaimanapun pihak juri membuat keputusan bahawa tiada pemenang untuk kategori Filem Animasi Terbaik.

Majlis pelancaran FFM26 sempurna dirasmikan dalam suasana meriah oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Jailani Johari di Hotel Empire, di sini, malam ini.

Hadir sama Pengerusi FINAS Datuk Md Afendi Hamdan dan Pemangku Ketua Pengarah FINAS Dr Megat Al Imran Yasin.

Majlis dihoskan Shahrol Shiro dan Didie Alias.

Antara artis yang hadir termasuk Datin Sofia Jane, Sein, Datuk Yusof Haslam, Tomok, Zizan Nin, Adman Salleh, Aqasha, Rusdi Ramli, Noor Kumalasari dan Esma Daniel.

Kemuncak acara akan berlangsung Sabtu ini di Negeri Sembilan dengan lebih banyak anugerah utama disampaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 12:43 AM