GANDINGAN Cristina dan Redza sebagai watak utama.
GANDINGAN Cristina dan Redza sebagai watak utama.

Meskipun sekadar karya kecil namun kejayaan diperoleh filem KIL arahan sulung sutradara muda Nik Amir Mustapha, 29, tetap unggul.

Tahun lalu, filem yang dihasilkan dengan bajet sekitar RM680,000 itu berjaya merangkul empat anugerah utama pada malam kemuncak Anugerah Skrin 2013 (ASK 2013) iaitu Filem Terbaik, Pengarah Filem Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.

Kini, sekali lagi KIL melakar sejarah tersendiri apabila berupaya menewaskan empat filem berskala besar pada Festival Filem Malaysia Ke-26 (FFM26) yang berlangsung di Kompleks RTM, Sungat Gadut, Senawang, Negeri Sembilan, Sabtu lalu.

Pada festival berprestij yang mengiktiraf industri perfileman tempatan itu, KIL membawa pulang kemenangan besar lima anugerah termasuk empat daripadanya dalam kategori utama.

Anugerah dimenangi KIL adalah Poster Terbaik, Pelakon Harapan Wanita, Lakon Layar Terbaik, Pengarah Terbaik dan Filem Terbaik.

Sayang pula kemenangan diraih filem yang hanya berjaya mencatat kutipan panggung RM500,000 saja itu tidak dapat dikongsi Nik Amir kerana dia berada di Jepun bagi menjayakan Festival Filem Tokyo 2014.

Ikuti temubual wartawan RAP Harian Metro, NORHAYATI NORDIN ([email protected]) bersama Pengurus Besar Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB), Tengku Iesta Tengku Alauddin yang mewakili Nik Amir.

RAP: Perasaan anda dengan kemenangan besar ini?

TENGKU IESTA: Sangat gembira kerana saya tak sangka KIL berjaya merangkul anugerah Filem Terbaik. Ini kerana saya melihat KIL sebuah filem berbajet kecil kalau hendak dibandingkan dengan empat pencabarnya iaitu KL Gangster 2, Penanggal, Rock Oo! dan Sembunyi: Amukan Azazil.

Jadi, saya akui amat terkejut dengan kejayaan ini. Apapun, bagi saya karya yang kecil seperti KIL ini tetap berjiwa besar. Justeru, pihak juri sepakat memilihnya sebagai filem terbaik.

RAP: Apa kelebihan KIL pada pandangan anda?

TENGKU IESTA: Saya melihat filem ini sudah disampaikan mengikut cara yang sesuai dengan jiwa generasi zaman sekarang. KIL juga dengan berani mengetengahkan masalah generasi muda masa kini yang sering tertekan dan me-ngalami depresi serta masalah kemurungan.

Pada saya, ia idea baru dan segar diilhamkan Nik Amir bersama dua lagi penggiat seni belakang tabir kreatif seperti Rewan Ishak dan Allahyarham Jeremy Little.

Mereka antara generasi muda berbakat yang tahu kehendak semasa dan apa tema berbeza untuk diketengahkan ke dalam filem. Namun, Tuhan lebih menyayangi arwah Jeremy kerana dia kembali ke rahmatullah.

RAP: Bagaimana jika kemenangan ini dipertikai?

TENGKU IESTA: Saya yakin orang tidak akan mempertikaikan filem ini kerana ia memiliki kekuatan tersendiri hingga melayakkan ia dipilih juri sebagai Filem Terbaik. Begitu juga, Nik Amir yang berjaya merangkul anugerah Lakon Layar Terbaik dan Pengarah Terbaik. Saya tidak pasti bagaimana penerimaan orang lain namun saya mengharapkan agar tiada pihak cuba mempertikaikan kemenangan ini. Ini berbalik soal rezeki.

RAP: Bagaimana pihak anda memandang karya pengarah baru?

TENGKU IESTA: Di Primeworks Studios atau GBSB, kami sentiasa bersikap terbuka untuk memberi peluang kepada pengarah baru mahu pun penggiat seni belakang tabir baru yang berbakat untuk berkarya dengan syarat mereka ada sentuhan menarik dan segar.

Apatah lagi, sekiranya mereka muncul dengan genre berbeza daripada filem sedia, itu satu kelebihan. Kami sedia memberikan pendedahan dan platform terbaik yang diperlukan, insya-Allah.

Apapun, saya mengharapkan kejayaan diperoleh pendatang baru seperti Nik Amir dan rakannya yang lain menerusi filem KIL menjadi laluan kepada ramai lagi pelapis muda lain di negara kita.

Bagi saya, asalkan muka baru itu sedia menyahut cabaran dan mengguna peluang diberi untuk bersaing dalam industri perfileman tanah air, tiada salah mereka mencuba.

RAP: Bagaimana pula dari segi piawaian anda terhadap kualiti filem yang dicari?

TENGKU IESTA: Semestinya tema cerita seharusnya menarik. Lakonan juga aspek yang sangat penting dalam membantu kejayaan sesebuah filem. Penonton kita semakin bijak membuat penilaian dan selaku pembikin filem seharusnya mereka (pengarah) berusaha menerbitkan karya yang terbaik dan di luar kebiasaan.

Disebabkan itu, sudah tiba masanya juga peluang lebih terbuka diberi kepada pelapis generasi baru yang banyak idea segar.

RAP: Harapan anda terhadap industri perfileman tanah air?

TENGKU IESTA: Saya melihat kejayaan KIL pada kemuncak FFM26 kali ini selaras dengan tema Transformasi Sinema Malaysia yang diketengahkan penganjur (FINAS). Ia juga membakar semangat kami di Primeworks untuk terus menyokong sinema tempatan.

Saya mengharapkan industri perfileman tempatan tidak akan tandus dengan penghasilan karya berkualiti dan ingin melihat pengarah handalan yang sudah lama mencipta lama terus berkarya bersama-sama dengan pengarah baru. Kita juga mengharapkan sokongan masyarakat untuk filem buatan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:01 AM