Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Pemenang pingat perak Sukan SEA Singapura Mohd Arif Abdul Latif (gambar) mahu meneruskan rentak cemerlang dengan meletakkan sasaran meraih sekurang-kurangnya satu pingat di Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Gwangju, Korea Selatan pada bulan depan.

Memandangkan ia penampilan pertamanya di pentas sukan itu, Arif berpendapat sasaran itu realistik.

Arif turut meletakkan sasaran itu selepas mengambil kira pencapaiannya ketika menyertai Kejohanan Universiti Badminton Dunia di Sepanyol yang menyaksikannya meraih satu emas dalam acara beregu bersama Iskandar Zulkarnain Zainuddin serta perak dalam acara individu.

“Ini penyertaan pertama di Sukan Universiti. Berdasarkan pengalaman tahun lalu, saya harap dapat memenangi sekurang-kurangnya satu pingat,” katanya.

Arif mengaku, saingan di Unversiade bukanlah semudah yang disangka kerana negara seperti China, Jepun, Thailand dan Korea Selatan dijangka bakal membariskan pasukan terkuat.

“Saya akan bermain dalam acara perseorangan dan beregu tapi hingga sekarang masih tidak tahu pasangan saya. Tapi fokus utama saya sebenarnya adalah acara perseorangan,” katanya.

Kontinjen negara meraih tiga gangsa pada temasya di Kazan, Rusia, dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 9:29 AM