Kuala Lumpur: Gandingan baru beregu wanita, Vivian Hoo-Ng Hui Lin bermula langkah kanan pada kejohanan Grand Prix Korea Selatan 2014 apabila berjaya menumbangkan pasangan tuan rumah yang juga pilihan ketujuh, Choi Hye In-Kim Ha Na 21-10, 13-21, 21-12 pada pusingan pertama di Jeonju, semalam.

Vivian-Hui Lin yang baru digandingkan bulan lalu dan masih dalam tempoh eksperimen akan berentap dengan satu lagi pasangan Korea Selatan, Choi Yoon Jung-Han Yong Joo.

Menurut Vivian, dia amat gembira selepas berjaya mengejutkan pilihan ketujuh itu.

“Perlawanan ini memang sangat sukar dan kami jangkakan perkara itu sebelum turun ke gelanggang lagi,” katanya semalam.

Jelasnya, walaupun berjaya mengejutkan lawan, namun dia mengakui kombinasi bersama Hui Lin masih belum 100 peratus mantap kerana baru digandingkan.

Bagaimanapun, pilihan kedua dalam acara perseorangan lelaki, Liew Daren tumpas pada pusingan pertama kepada pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu 21-12, 19-21, 18-21.

Cabaran acara perseorangan lelaki diteruskan Goh Soon Huat, Tan Meng Kian dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin bersama seorang pemain bebas, Mohamad Arif Abdul Latif.

Arif yang diletakkan sebagai pemain pilihan keempat berjaya menumpaskan pemain tuan rumah, Lee Sang Ho 21-8, 21-16, namun pada saingan pusingan ketiga hari ini dia akan berdepan rakan senegara, Meng Kian yang sebelum itu memperoleh kemenangan percuma apabila seorang lagi pemain Korea Selatan, Kim Kyung Tae menarik diri ketika kedudukan 5-3 di set pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 5:06 AM