CHONG Wei mampu suntik semangat pemain muda.
CHONG Wei mampu suntik semangat pemain muda.

Ayuh beraksi cemerlang di Singapura! Itu pesanan serius Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen kepada semua pemain menjelang aksi minggu depan.

Bagaimanapun, bekas pemain perseorangan Denmark itu masih lagi berasa risau dengan pencabar utama Indonesia walaupun mereka tidak menurunkan barisan pemain utama pada temasya ini.

“Mereka mungkin memberikan kesukaran buat kami di Singapura tapi semua pemain harus meningkatkan prestasi dan bersedia dengan sebarang kemungkinan,” katanya.

Jelasnya, berdasarkan laporan awal, Indonesia juga sama seperti Malaysia membariskan pasukan muda tetapi anak buahnya perlu berhati-hati kerana negara jiran itu masih boleh dikategorikan sebagai pasukan terkuat.

“Anda tidak boleh memperkecilkan mereka dan kita juga dalam masa sama perlu bersedia dengan menganggap ini kejohanan sengit apabila tiba di Singapura.

“Kami sudah bersedia tapi tidak boleh mengambil ringan terutama ketika menentang pasukan seperti Indonesia,” katanya yang akan tiba di Singapura esok.

Dalam masa sama Frost juga mengakui bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei sudah bersedia untuk membantu pasukan bukan dari segi psikologi tetapi ketika beraksi di gelanggang.

“Kehadirannya akan menjadi penyuntik semangat kepada pasukan dan saya nampak dia sudah bersedia untuk saingan kali ini,” katanya.

BAM meletakkan sasaran memenangi empat pingat emas dalam acara berpasukan lelaki, wanita, beregu (lelaki, wanita atau campuran).

Acara badminton akan bermula 10-12 Jun ini untuk acara individu, manakala berpasukan dari 13 hingga 16 Jun.

Dua tahun lalu di Myanmar, Malaysia meraih satu emas dan tiga gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 8:27 AM