FATIN prospek emas negara dalam acara compound.
FATIN prospek emas negara dalam acara compound.

Putrajaya: Sasaran satu pingat emas pada temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Gwangju, Korea Selatan dari 3 hingga 14 Julai ini adalah realistik, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Universiade bagi kontinjen negara Hazally Jali.

Katanya, berdasarkan pencapaian pada temasya sukan lain membabitkan atlet universiti negara di peringkat antarabangsa iaitu Kejohanan Sukan Universiti Dunia (WUC), sukan badminton dan memanah memiliki rekod cemerlang.

Badminton meraih pingat emas menerusi beregu lelaki, Iskandar Zulkarnain dan Mohd Arif Ab Latif pada WUC di Cordoba, Sepanyol tahun lalu manakala trio memanah wanita negara meraih pingat perak pada 2012.

“Prestasi atlet negara cukup tinggi. Berdasarkan kejayaan mereka, ini peluang terbaik atlet negara meraih pingat emas pertama di Universiade.

“Selepas Sukan Olimpik, Universiade adalah sukan kedua terbesar penyertaannya di dunia. Atlet yang terbabit dari seluruh dunia kebanyakannya pernah menyertai Sukan Olimpik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang oleh Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Datuk Nasir Mat Dam kepada Ketua Kontinjen negara Prof Dr Anuar Hassan di sini.

Pembawa Jalur Gemilang, Fatin Nurfatehah Mat Salleh adalah prospek pingat emas negara di Gwangju, selepas kejayaan cemerlangnya meraih emas pada Piala Dunia di Shanghai dan tiga pingat emas di Sukan SEA Singapura baru-baru ini, bagi sukan memanah acara compound.

“Namun Iskandar tidak dapat sertai Universiade kali ini kerana tidak mendapat pelepasan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), tetapi kita masih mempunyai Mohd Arif Ab Latif dan Zulfadli Zukifli (pemain perseorangan negara),” katanya.

Sebanyak 111 atlet negara akan mengambil bahagian dalam 15 acara di Gwangju dan 14 atlet adalah penyumbang pingat emas di Sukan SEA Singapura, bulan lalu.

Hazally berkata, KPM turut mengadakan ujian doping ke atas atlet secara rawak dan hasil keputusan 40 peratus atlet menjalani ujian air kencing itu didapati negatif.

Untuk rekod, atlet negara sekadar meraih satu pingat perak dan dua gangsa di Universiade Shenzen, China pada 2011 dan tiga pingat gangsa di Kazan, Rusia pada 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 9:11 AM