Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melakukan keputusan berani apabila menyenaraikan Mohd Arif Ab Latif serta Goh Jin Wei untuk menggalas tugas acara perseorangan lelaki dan wanita pada Sukan SEA Singapura dari 5 hingga 16 Jun.

Ketika mengumumkan senarai pemain ke temasya dwi tahunan itu semalam, Pengarah Teknikal BAM Morten Frost Hansen berkata, Arif yang juga pemain luar BAM serta Jin Wei yang baru berusia 15 tahun, sememangnya berhak untuk berada dalam skuad kali ini.

“Arif bermain dengan baik berbanding pemain BAM pada sesi pemilihan atau kejohanan yang disertainya sejak Januari lalu.

“Pemilihan Arif menunjukkan saya terbuka untuk menerima bukan saja pemain dalam BAM tetapi pemain luar juga.

“Jika mereka mempunyai kualiti, mereka berhak berada dalam pasukan,” katanya pada sidang media semalam.

Jin Wei pula, Frost berpendapat pemain itu cukup berbakat dan beliau menantikan aksi pemain muda itu.

“Dia sangat istimewa kerana baru berusia 15 tahun dan bakal melakukan penampilan pertama bersama pasukan kebangsaan,” katanya.

Mengenai sasaran di Sukan SEA, Frost berharap skuad negara dapat meraih sebanyak mungkin pingat.

“Kita mempunyai peluang meraih pingat menerusi acara berpasukan lelaki, berpasukan wanita, beregu lelaki serta wanita dan mungkin juga beregu campuran.

“Yang penting saya mahu lihat komitmen setiap pemain dalam usaha mencapai sasaran ditetapkan,” katanya.

Selain Arif dan Jin Wei, acara perseorangan lelaki dan wanita turut disertai Chong Wei Feng serta Tee Jing Yi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 9:13 AM