SHAFIQ (kiri) dan Eain Yow galas harapan negara.
SHAFIQ (kiri) dan Eain Yow galas harapan negara.
Devinder Singh


SYAFIQ Kamal dan Ng Eain Yow akan bersilih ganti menjadi rakan dan lawan apabila acara skuasy membuka tirai, Isnin depan.

Kedua-dua pemain akan bergandingan dalam acara beregu dan menerajui cabaran Malaysia bagi acara berpasukan manakala bagi acara perseorangan, mereka diletakkan sebagai pilihan pertama dan kedua.

Mereka juga masing-masing meletakkan sasaran untuk merangkul tiga pingat emas.

“Kami tidak tahu apa yang akan berlaku jika kami layak ke final acara perseorangan,” kata Syafiq, 21, yang membuat penampilan kedua di Sukan SEA.

“Kami berlatih, berkongsi bilik dan bermain acara beregu bersama. Sukar menjangkakan apa yang boleh kami dapat dalam kejohanan ini.

“Kami tidak akan pandang mudah jika kami bermain menentang antara satu sama lain. Di akhirnya, setiap daripada kami mahukan kemenangan.”

Eain Yow yang juga juara junior dunia 2016 mengatasi Syafiq pada kali terakhir mereka bertemu di Kejohanan Skuasy Kebangsaan, Mei lalu.

Syafiq pula tidak bermain dalam acara perseorangan sejak kembali dari New Zealand, Jun lalu meskipun dia bergandingan dengan Eain Yow pada Kejohanan Beregu Dunia di Manchester, awal bulan ini.

“Kami tidak bermain banyak sebagai beregu tetapi gandingan saya bersama Eain Yow semakin menyerlah, komunikasi kami dalam gelanggang juga semakin baik. Keyakinan kami dalam acara beregu semakin meningkat,” katanya.

Syafiq yang diletakkan sebagai pilihan kedua perseorangan selepas Eain Yow yang menduduki ranking ke-81 dunia berkata, “Sasaran saya adalah memenangi tiga emas tetapi cabaran utama pastinya acara perseorangan.

“Bagaimanapun saya percaya salah seorang daripada kami mampu meraih emas acara perseorangan buat Malaysia.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 2:40 PM