AKSI dua pemain skuasy negara, Datuk Nicol Ann David dan S Sivasangari ketika perlawanan akhir skuasy perseorangan wanita Sukan Asia 2018. Foto NSTP/FATHIL ASRI
AKSI dua pemain skuasy negara, Datuk Nicol Ann David dan S Sivasangari ketika perlawanan akhir skuasy perseorangan wanita Sukan Asia 2018. Foto NSTP/FATHIL ASRI
Daripada Azidan Nahar dan Azlan Muhammad Zain

 

HARAPAN disandarkan dalam acara skuasy berpasukan wanita untuk mempertahankan emas edisi 2014 tidak kesampaian apabila kecundang kepada India 0-2, hari ini.

Tampil dengan harapan menggunung kepada jaguh negara, Datuk Nicol David sebagai perseorangan pertama tidak kesampaian apabila dia kecundang dalam aksi lima set.

Lawannya, Joshana Chinappa bermain dengan cemerlang apabila memenangi dua set awal 12-10, 11-9 sebelum Nicol mempamerkan kebangkitan memenangi dua set berikutnya 11-6, 12-10.

Set penentuan bagaimanapun tidak memihak kepada Nicol apabila lawan kembali bertenaga untuk meraih kemenangan 9-11 untuk meraih kemenangan 3-2.

"Kami hampir namun tahap keyakinan mereka menebal selepas menang pada perlawanan pertama menentang saya. Low Wee Wern memberikan tentangan yang sengit dalam perlawanannya.

"Ia lebih kepada kondisi pemain hari ini di mana mereka bermain dengan baik. Kita tewas kepada pasukan yang lebih kuat," jelas Nicol.

Kebangkitan diharapkan menerusi Wee Wern yang turun dalam perlawanan kedua tidak kesampaian apabila tewas dalam aksi tiga set.

Dia tewas kepada Dipika Pallikal Karthik dalam tempoh 25 minit dengan keputusan 2-11,9-11,7-11.

"Memang ada sedikit tekanan apabila (Nicol) tewas perlawanan pertama. Kita juga sedar perlawanan akan sengit hari ini," kata Wee Wern.

Dia turut mengakui masih belum berada pada tahap terbaik seperti sebelum ini susulan berehat panjang akibat kecederaan ligamen lutut (ACL).

Kekalahan di separuh akhir menyaksikan skuad negara terpaksa berpuas hati dengan gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 8:23 PM