Khairil S Iswan

Kuala Lumpur: Sekalipun tidak diletakkan prospek pingat emas, skuad bola keranjang lelaki negara tetap dicabar untuk memburu kejayaan terulung itu pada temasya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur (KL2017).

Bekas tonggak kebangsaan, Tan Kee Hian (gambar) berkata, meskipun sedar pasukan yang dibimbing Goh Cheng Huat itu berdepan laluan cukup berliku, cabaran yang dilontarkan bukanlah dianggap misi mustahil.

“Ia cabaran besar buat skuad bola keranjang lelaki kerana saya fikir jika mereka kekal dengan semangat ketika ini, saya rasa apa saja boleh berlaku,” kata Kee Hian.

“Semangat mereka ketika ini amat baik. Mereka baru saja menjalani latihan di New Zealand sebagai persiapan dan segala-galanya tampak positif.

“Saya fikir MABA (Persatuan Bola Keranjang Malaysia) juga sudah melakukan yang terbaik untuk memastikan mereka dapat bersedia. Dengan kelebihan sebagai tuan rumah, apa saja boleh berlaku.”

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat dalam acara bola keranjang adalah Sukan SEA Korat 2007 apabila memperoleh gangsa dengan skuad yang dibarisi Kee Hian berjaya memenangi pingat perak pada edisi 1997 di Jakarta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 10:47 AM