Hanya satu lagi perlawanan memisahkan skuad bola keranjang wanita kebangsaan daripada emas yang sudah tiga edisi menjauhkan diri.

Aksi menentang Vietnam di OCBC Arena hari ini akan menjadi penentu tatkala kedudukan lawan selaku pasukan paling lemah seakan tiket untuk Malaysia bergelar juara.

Skuad kendalian jurulatih Yoong Sze Yuin itu hanya perlu menang tanpa mengira jumlah jaringan dilakukan dan atas kertas tugas itu sepatutnya mudah untuk dilaksanakan.

Ini kerana, Malaysia adalah satu-satunya pasukan yang belum tewas sekali gus memiliki kelebihan berbanding Thailand serta Indonesia yang menjadi pesaing terdekat.

Ketika Malaysia perlu mengatasi Vietnam, Thailand dan Indonesia pula akan bertemu sama sendiri untuk mengukuhkan kedudukan selaku pasukan di tangga kedua.

Kelmarin, Malaysia menundukkan Singapura 65-39 untuk melakar kemenangan keempat berturut-turut dalam saingan liga satu pusingan itu.

Pasukan yang menduduki tempat teratas akan diangkat selaku juara diikuti pasukan di tangga kedua dan ketiga.

Sze Yuin tidak menafikan kelebihan anak buahnya untuk kembali memenangi emas yang kali terakhir dirangkul pada temasya Korat 2007 tetapi enggan meremehkan cabaran Vietnam.

“Memang kita ada kelebihan tetapi pemain perlu mengekalkan fokus untuk menang dan bermain seperti biasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 10:20 AM