Acara renang menutup tirai semalam dengan Welson Sim (gambar) meraih pingat emas sambil memecah rekod kebangsaan dalam acara 400 meter gaya bebas lelaki di Pusat Akuatik OCBC.

Dia mencatat 3 minit 53.97 saat untuk memadam rekod lama milik rakan senegara Daniel Bego enam tahun lalu ketika melakukannya di Laos dengan catatan 3:53.99s.

Welson gembira dengan kejayaan itu kerana catatan itu adalah masa peribadi terbaiknya selain merangkul emas menerusi penampilan kedua di temasya serantau ini.

“Saya sebenarnya tidak menjangka mampu memecahkan rekod ini kerana sasaran saya hanya mahu meraih emas. Catatan terbaik saya sebelum ini 3:55.93s. Rekod ini bonus untuk saya,” katanya.

Jelasnya, dia gembira dapat mengatasi rekod milik Daniel yang mengucapkan tahniah kepadanya.

“Dia gembira dengan kejayaan saya. Di Myanmar saya hanya meraih gangsa.

“Sasaran saya selepas ini untuk melakukan yang terbaik di Kejohanan Dunia kerana ia penyertaan pertama saya dalam acara 200m dan 400m gaya bebas,” katanya.

Daniel yang turut beraksi dalam acara itu hanya menduduki tempat keempat dengan catatan 3:58.34.

Perak milik perenang Filipina, Jessie Lacuna (3:55.34s) dan gangsa diraih Shen Pang dari Singapura (3:57.60s).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2015 @ 11:51 AM