WELSON ketika acara 200m gaya bebas lelaki.
WELSON ketika acara 200m gaya bebas lelaki.
Aida Adilah Mat

Shah Alam: Tiada kejutan berlaku pada hari kedua Kejohanan Renang Terbuka Malaysia yang menyaksikan dua perenang kebangsaan Welson Sim dan Phee Jinq En menghadiahkan pingat emas buat skuad negara.

Layak ke Olimpik dalam acara 200 meter gaya bebas secara merit, Welson tampak mudah mengungguli acara itu apabila mencatatkan rekod baru kejohanan dengan catatan 1 minit 48.64 saat manakala perenang Hong Kong Cheung KinTat Kent meraih perak, 1:51.82s dan gangsa milik perenang Selangor Zheng Yang Yeap, 1:52.05s.

Beraksi di bawah tekanan Welson berkata, dia cukup berpuas hati dengan catatan itu namun berharap dapat terus beraksi secara konsisten apabila turun dalam acara 800 dan 1,500m selepas ini.

Sementara itu seorang lagi perenang negara Wong Fu Kang sekadar menduduki tempat keempat acara 50m kuak dada.

Meraih tiket bagi kategori B ke temasya Olimpik Rio dalam acara 100m kuak dada ketika beraksi di Sukan SEA Singapura lalu, Fu Kang yang berpangkalan di Thailand itu nyata tidak berpuas hati dengan pencapaian direkodkan.

Katanya, banyak yang perlu diperbaiki berdasarkan rakaman video terutama dalam teknik renangan.

“Penyertaan saya di Terbuka Malaysia kali ini tidak beberapa memuaskan.

“Saya tidak dapat mencapai sasaran yang dimahukan. Banyak yang perlu diperbaiki dan saya perlu berusaha lebih keras dari segi teknikal.

“Namun jika gaya kuakan dapat diperbaiki saya mungkin dapat mencatatkan catatan lebih baik,” katanya yang sebelum ini meraih gangsa acara 100m kuak dada kelmarin.

Masih positif mampu melakarkan sesuatu di kejohanan kali ini atlet kelahiran Johor itu akan mencuba nasib memburu tiket ke Olimpik dalam acara 200m hari ini.

Fu Kang antara lima atlet negara yang sudah melepasi catatan masa bagi kategori B ke Olimpik dalam acara 100m kuak dada dengan catatan 1:02.46s ketika beraksi di Sukan SEA Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2016 @ 5:07 AM