YONG Qi mencatatkan masa 2:18:45s untuk meraih emas. FOTO Ihsan Sukan IPT
YONG Qi mencatatkan masa 2:18:45s untuk meraih emas. FOTO Ihsan Sukan IPT
Syazwan Msar


Ubon Ratchathani: Kem renang Malaysia terus mempamerkan aksi terbaik pada hari kedua temasya Sukan Universiti Asean(AUG) apabila sekali lagi menghadiahkan pingat emas buat negara sebentar tadi.

Kali ini perenang negara, Ong Yong Qi memperoleh emas dalam acara 200 meter (m) kuak kupu-kupu itu walaupun peserta negara yang lain gagal menyinar dalam tujuh aksi masing-masing yang berlangsung hari ini di Kampus Ban Yang Noi.

Pelajar Universiti Sunway itu mencatatkan masa 2:18:45s untuk meraih emas manakala perak milik atlet Indonesia, Adinda Kirana dan Subhaamorn Panthira dari Thailand meraih gangsa.

"Saya sangat gembira kerana dapat sumbangkan emas buat kontinjen negara hari ini, walaupun masa dalam aksi final tidak begitu baik, ia sudah cukup untuk saya meraih tempat pertama.

"Aksi di AUG ini adalah sebahagian persiapan saya untuk mewakili negara pada Sukan Sea Kemboja pada tahun depan," kata Yong Qi yang berumur 20 tahun itu.

Sementara itu, kem renang negara pada hari ini juga turut meraih pingat perak dan dan gangsa bagi acara 200m gaya bebas lelaki menerusi Welson Sim dan Terence Ng yang terpaksa akur kepada Joe Kurniawan dari Indonesia untuk emas.

Dalam acara 200m kuak kupu-kupu lelaki pula, Low Zheng Yong membawa pulang gangsa dengan catatan 2:02:60s manakala emas milik atlet Thailand, Wongcharoen Navaphat dan perak diraih Joe Kurniawan.

Bagi acara 4x100m wanita, Thailand berjaya memecahkan rekod kejohanan dengan catatan 3:53:76s untuk meraih emas manakala perak milik Malaysia dan gangsa diraih Singapura.

Dalam pada itu, Malaysia turut meraih perak bagi acara 4x100 lelaki dengan catatan 3:28:16 manakala emas milik Indonesia (3:27:54) dan gangsa dimenangi Thailand (3:31:75s).

Setakat hari ini, kem renang negara berjaya menghadiahkan dua emas, lima perak dan dua gangsa buat kontinjen di AUG 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 10:40 PM