Kuala Lumpur: Perenang negara, Welson Sim (gambar) dilihat semakin matang apabila berjaya meraih pingat emas acara 200 meter gaya bebas Terbuka Malaysia 2015 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil semalam.

Lebih menarik atlet yang mewakili Sarawak itu berjaya melayakkan diri ke Kejohanan Dunia 2015 Kazan Julai depan selepas mencatat masa satu minit 49.67 saat serta menumpaskan beberapa perenang senior negara.

Pingat perak diraih Kevin Yeap dari Perak 1:52.59s, manakala rakan sepasukan Welson, Vernon Lee meraih gangsa 1:52.62s manakala perenang negara Daniel Bego sekadar di tempat kelima 1:53.00s.

Menurut perenang berusia 18 tahun itu, dia gembira kerana tidak sangka dapat menumbangkan beberapa perenang senior.

“Sebelum turun ke dalam kolam renang memang saya menaruh harapan untuk menumpaskan perenang senior lain termasuk Kevin,” katanya yang turut melayakkan diri ke Sukan SEA 2015 Singapura Jun ini.

Jelasnya, ini adalah kali pertama dia layak ke Kejohanan Dunia tetapi di Sukan SEA ia adalah penampilan kedua selepas Myanmar dua tahun lalu.

“Di Myanmar saya berjaya meraih dua perak dan satu gangsa. Pingat perak ketika membarisi kuarter 4x100m dan 4x200m gaya bebas, manakala gangsa pula dalam acara 1,500m gaya bebas,” katanya.

Sementara itu, perenang Johor yang menyerlah pada hari pertama kelmarin, Wong Fu Kang sekali lagi menyerlah apabila meraih emas acara 50m kuak dada dengan catatan masa 28.77s.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2015 @ 5:16 AM