JEFRIDIN
JEFRIDIN
A Bakar
A Bakar
MAISARAH
MAISARAH
FADILAH
FADILAH
DATUK A Rahman Hassan
DATUK A Rahman Hassan
Syanty Octavia Amry

Bukan niat mencari keuntungan semata-mata, Konsert Jubli Emas Orkes Nirwana yang diadakan sempena 50 tahun penubuhan kumpulan itu dianjurkan bagi mengimbas serta mengembalikan semula populariti irama pop yeh yeh.

Penaungnya, Datuk A Rahman Hassan berkata pada tahun 1985 mereka mengadakan konsert berskala besar bagi mengumpul dana membantu mangsa kebuluran di Afrika.

Namun kali ini, ia diadakan bagi mengimbas kembali irama pop yeh yeh yang diyakini masih mempunyai pengikut.

Berlangsung di Panggung Sari Istana Budaya, Kuala Lumpur semalam, walaupun dewan tidak penuh sesak, dia berpuas hati apabila melihat penonton terhibur dengan himpunan lagu yang dipersembahkan.

“Alhamdulillah, konsert ini berjaya diadakan. Bukan senang untuk saya menarik peminat muzik pop yeh yeh datang menonton persembahan ini.

“Walaupun dewan tidak penuh, saya gembira melihat mereka terhibur dan setia menanti hingga konsert selesai.

“Saya yakin pemilihan penyanyi jemputan juga menepati selera penonton yang hadir,” katanya.

Mengulas mengenai konsert yang sepatutnya berlangsung dua malam dimansuhkan kepada satu malam, A Rahman berkata, dia menerima apa yang berlaku dengan hati terbuka.

“Bagi saya satu atau dua malam bukan masalah, apa yang penting Orkes Nirwana dapat menghiburkan penonton.

“Konsert ini bukan kerana mahu mencari keuntungan, tetapi lebih kepada menghiburkan penonton.

“Paling penting pemilihan lagu menepati selera penonton,” katanya.

Selain Datin Fadilah Mansor yang membuat kemunculan sulung pada malam itu, artis jemputan lain yang membuat persembahan adalah Datuk Jefridin, The cliffters, A Bakar, Vernon Cornelius, Md Noor Hendrix, Md Shah Osman, Maisya dan Maisarah.

Fadilah ketika ditemui berkata, gara-gara terlalu gemuruh menyanyi di hadapan khalayak dia terlupa lirik. Namun, kata-kata perangsang suami tersayang buat dia bersemangat meneruskan persembahan pada malam itu.

“Ini persembahan pertama saya di hadapan orang ramai.

“Hanya Tuhan yang tahu betapa gemuruhnya saya apabila berada di atas pentas. Rasanya kalau kulit disiat hingga berdarah pun saya tidak rasa apa-apa,” katanya seraya ketawa.

Antara lagu yang dipersembahkan dalam konsert itu adalah Takkan Ku Tanya Lagi, Syurga Idaman, Tak Mengapa, Aku Kan Pergi, Hanya Untukmu dan Kerana Fitnah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2015 @ 11:12 AM