SESI latihan Orkes Nirwana dalam suasana ceria.
SESI latihan Orkes Nirwana dalam suasana ceria.
Oleh Nor Akmar Samudin


Dalam sejarah industri hiburan tanah air belum ada kumpulan muzik yang mampu bertahan sehingga 50 tahun melainkan kumpulan Orkes Nirwana yang kini kekal bersama tiga anggota asalnya, Datuk A Rahman Hassan, 69, E Elias, 71 dan B Badrun, 69.

Melengkapkan kumpulan itu, Orkes Nirwana disertai dua anggota baru, Ilmi Rahman yang juga anak A Rahman dan Azim Talha. Sementara pelakon Datin Fadzilah Mansor yang baru saja mendirikan rumah tangga dengan A Rahman akan menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Allahyarham Datin Azizah Mohamad yang meninggal dunia pada April 2013.

Bagi meraikan jubli emas kumpulan itu atas kerjasama Orkes Nirwana dengan Harithmai Production, kumpulan itu akan mengadakan Konsert Jubli Emas - Pop Yeh Yeh ke-50 tahun di Panggung Sari, Istana Budaya, pada 6 dan 7 Jun ini.

Mengimbas sepintas lalu, Nirwana ditubuhkan pada 25 Mac 1965.

Bertemu dengan A Rahman di kediamannya kelmarin, jelasnya, dalam sejarah industri hiburan dunia sekali pun, barangkali dua kumpulan yang tercatat sebagai yang paling lama bertahan ialah kumpulan The Rolling Stones yang ditubuhkan pada 1962 dan Orkes Nirwana.

“Kumpulan Beatles pun sudah lama berpecah. Lantaran itu kami bertiga yang masih bersama Orkes Nirwana amat berbangga dengan pencapaian Nirwana dan meraikannya dengan mengadakan konsert.

“Selain sebagai tanda kejayaan dan kegembiraan, ia juga ada sentuhan sentimental khusus untuk peminat pop yeh yeh. Alhamdulillah, Harithmai sudi menganjur dan menerbitkan konsert jubli itu. Pada konsert itu nanti saya akan membawakan lagu yang pernah menjulang nama Orkes Nirwana dan kami kekal bersama sehingga kini,” katanya.

Antara lagu yang akan dipersembahkan, Tak Mengapa, Hanya Untukmu, Semoga Berjaya, Bimbang dan Perpaduan Hidup.

Memandangkan A Rahman, Elias dan Badrun sudah berada pada penghujung usia, pasti mereka perlu melakukan persediaan rapi terutama dari segi stamina kerana konsert itu akan berlangsung hampir dua jam.

Mengulas perkara itu kata A Rahman selama ini pun mereka membiasakan diri berlatih sambil berdiri.

“Ia sudah menjadi kebiasaan kami sejak dulu sampai sekarang. Sehingga kini, kami membuat persembahan di mana-mana majlis tidak pernah duduk. InsyaAllah tiada masalah untuk kami mengadakan konsert selama dua hari itu,” katanya yang sudah mula berlatih di studio.

Menceritakan rahsia keutuhan kumpulan itu, menurut A Rahman, mereka berpegang kepada empat Rukun Nirwana iaitu ketaatan, disiplin, muafakat dan berbudi luhur.

Orkes Nirwana juga terkenal mempopularkan pakaian seragam ‘turtle-neck’ dan cekak musang yang kedua-duanya menjadi ikutan peminat ketika itu. Fenomena dalam memodenkan irama muzik tanah air berjaya melonjakkan kumpulan ini yang membawa irama Pop Yeh Yeh dan menjadi ikutan pemuzik lain untuk mambawakan irama Pop Yeh Yeh pada masa itu.

Pada konsert itu nanti, Orkes Nirwana akan menampilkan 15 lagu setiap malam dan akan turut dimeriahkan dengan artis jemputan seperti Datuk Jeffrydin, kumpulan The Cliffters (Rolling Stones of Singapore), Vernon Cornelius (penyanyi utama kumpulan The Quest) dari Singapura, Maisya dan Maisarah yang menampilkan legasi bakal mewarisi Pop Yeh Yeh. Semua persembahan artis itu nanti akan diiringi Orkes Nirwana.

“Semua pemuzik dan artis lama itu diundang kerana kami bersama-sama berkongsi genre muzik yang sama di mana aliran muzik kami pernah dipengaruhi unsur muzik dan nyanyian Elvis Presly, Beatles dan The Rolling Stones.

“Sehubungan itu, besar ertinya apabila kami dapat berkongsi pentas yang semula,” katanya.

Dua artis muda, Maisya akan menyanyikan lagu yang pernah dipopularkan Datin Azizah Mohamed dan Maisarah pula akan menyampaikan dua lagu nyanyian Sanisah Huri.

Kepada yang ingin menonton konsert ini, diskaun 20 peratus diberikan sempena sambutan Hari Ibu dan Hari Bapa. Tiket berharga, RM53, RM103, RM123, RM163, RM203, RM253, RM303 dan RM453 boleh dibeli secara online melalui www.ticket2u.biz.

Harithmai Production juga mengadakan Pakej Hospitality termasuk bufet makan malam dan cenderahati berbentuk buku Orkes Nirwana, kemeja-T dan CD sepanjang konsert itu berlangsung.

Peminat yang ingin mengetahui setiap perkembangan berkaitan konsert itu boleh layari laman sosial www.onemegazine.com yang juga rakan kolaborasi dan platform online hiburan, media dan perkembangan sosial atau Twitter @harithmaip atau instagram: hmp channel.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 8:06 AM