Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menganggap hasrat pemain perseorangan negara Liew Daren (gambar) untuk meninggalkan badan induk itu jika gagal ke Sukan Olimpik, sesuatu yang normal.

Pengarah Teknikal BAM Morten Frost Hansen bagaimanapun berkata, Daren tidak pernah menyatakan mengenai perkara itu kepadanya dan beliau akan mendapatkan penjelasan lebih lanjut daripada pemain berusia 27 tahun itu.

“Itu pilihan dia dan bagi saya keputusan yang ingin dilakukannya itu perkara biasa seperti alet lain.

“Saya ada bercakap dengannya tapi dia tidak pula beritahu mengenai perkara ini.

“Untuk ketika ini, saya tidak dapat memberi komen lebih lanjut. Mungkin Daren atau BAM perlu buat penilaian menyeluruh sebelum buat keputusan,” katanya semalam.

Jelas Frost, impian Daren untuk beraksi di Sukan Olimpik perlu diberi pujian kerana dia mempunyai hasrat sama seperti alet lain.

“Tapi masa sudah semakin suntuk untuk Daren. Jika dia tidak layak kali ini, peluang untuk beraksi di Sukan Olimpik 2020 sangat sukar,” katanya.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, Daren berkata, dia bersedia untuk meninggalkan BAM sekiranya gagal layak beraksi di Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Daren menegaskan, dia sendiri mensasarkan untuk tempoh setahun lagi bersama skuad negara bagi meningkatkan prestasinya.

Meskipun tampak cukup sukar beraksi di Rio, mengambil kira kedudukan ranking ke-76 dunia ketika ini, Daren tetap mahu cuba layak ke Olimpik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 7:50 AM