ORANG ramai memakai topeng muka kerana bimbang penularan MERS di Seoul.
ORANG ramai memakai topeng muka kerana bimbang penularan MERS di Seoul.

Seoul: Korea Selatan semalam mengumumkan kematian pertama akibat virus Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) selepas penularan terbesar wabak itu di luar Asia Barat yang mengakibatkan 25 orang dijangkiti penyakit itu.

Kementerian Kesihatan mengesahkan seorang wanita berusia 58 tahun maut akibat kegagalan pernafasan kelmarin dengan hasil ujian terhadapnya disahkan positif MERS. Seorang lagi mangsa lelaki berusia 71 tahun yang meninggal dunia semalam selepas disahkan menghidap penyakit itu beberapa hari lalu.

Sebelum ini, hanya satu lagi kes disahkan kematian akibat MERS dilaporkan di Malaysia pada April tahun lalu.

Enam lagi rakyat Korea Selatan disahkan dijangkiti virus MERS setakat malam kelmarin, menjadikan jumlah pesakit kini 25 orang termasuk dua mangsa yang maut.

Kes pertama, lelaki berusia 68 tahun yang disahkan dijangkiti selepas kembali dari Arab Saudi dilaporkan pada 20 Mei lalu.

Kira-kira 750 orang terdedah secara langsung atau tidak langsung dengan virus itu kini dikuarantin. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 10:58 AM