ORANG ramai mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai topeng muka ketika membeli-belah di pasar raya di Seoul.
ORANG ramai mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai topeng muka ketika membeli-belah di pasar raya di Seoul.

Seoul: Waris Kumpulan Samsung, Jay Y Lee semalam memohon maaf secara terbuka selepas hospital milik syarikat itu di sini menjadi pusat penularan virus Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS).

Sementara itu, pegawai kesihatan melaporkan tiga lagi kes baru.

Pusat Perubatan Samsung di Seoul menjadi tempat jangkitan separuh daripada 175 kes MERS di Korea Selatan, menjadi negara itu lokasi penularan terbesar virus berkenaan di luar Arab Saudi.

“Pusat Perubatan Samsung gagal mengawal jangkitan dan penyebaran virus seterusnya mencetuskan kebimbangan rakyat.

“Saya memohon maaf atas kejadian itu. Pihak hospital bertanggungjawab penuh untuk merawat pesakit dan akan berusaha mengelak kejadian berulang,” katanya dalam siaran secara langsung di televisyen.

Dia yang juga Naib Pengerusi Samsung Electronics berjanji membuat pembaikpulihan penuh pusat perubatan itu.

Imej hospital itu yang sebelum ini dianggap hospital paling berprestij di Korea Selatan tercemar kerana penyebaran virus berkenaan.

Lee mengetuai Yayasan Samsung yang turut bertanggungawab menguruskan operasi hospital itu.

Dia berjanji yayasan itu akan memberi sokongan penuh terhadap penyelidikan vaksin bagi menangani MERS.

Ayahnya yang juga pengerusi Samsung Eleltronics, Lee Kun-Hee mendapat rawatan di hospital itu sejak setahun lalu selepas mengalami serangan jantung.

Sementara itu, ketua Pusat Perubatan Samsung, Song Jae-Hoon mengaku hospital itu gagal menangani penyakit itu pada peringkat awal.

“Memang berlaku banyak kekurangan dalam tindak balas awal dan kami memohon maaf,” katanya.

Kementerian Kesihatan Korea Selatan berkata, dua daripada tiga pembawa baru yang diumumkan semalam dijangkiti virus itu di dua hospital berbeza di Seoul, termasuk Pusat Perubatan Samsung.

Kes ketiga membabitkan anggota keluarga pesakit lain. Setakat ini tiada kematian baru dilaporkan.

Daripada 175 kes yang disahkan, 27 pesakit mati, 54 pulih dan dibenarkan pulang manakala 94 masih dirawat dengan 16 menggunakan mesin bantuan hayat.

Kira-kira 2,805 masih dikuarantin. Kes pertama di Korea Selatan disahkan pada 20 Mei lalu.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang wanita berusia 39 tahun yang pulih selepas dijangkiti virus itu melahirkan bayi di Pusat Perubatan Samsung, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 9:47 AM