PEKERJA kesihatan Korea Selatan memakai topeng bedah ketika menanti untuk memeriksa suhu mereka yang datang untuk menjalani pemeriksaan di Seoul, semalam.
PEKERJA kesihatan Korea Selatan memakai topeng bedah ketika menanti untuk memeriksa suhu mereka yang datang untuk menjalani pemeriksaan di Seoul, semalam.
Agensi

Seoul: Korea Selatan semalam melaporkan kematian ke-14 akibat penularan virus Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) di negara itu.

Pihak berkuasa juga mengesahkan 12 kes baru, termasuk seorang pemandu ambulans yang terbabit mengangkut pesakit yang dijangkiti virus berkenaan.

Kematian terbaru itu membabitkan seorang wanita berusia 68 tahun yang dijangkiti virus itu di sebuah hospital di Pyeongtaek, bandar di selatan Seoul, menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan.

Setakat ini, semua kematian membabitkan pesakit yang memang menghadapi masalah kesihatan dengan yang terbaru menghidap masalah darah tinggi.

Dua belas kes baru yang disahkan semalam meningkatkan jumlah mereka dijangkiti virus itu kepada 138, penularan terbesar MERS di luar Arab Saudi.

Ia termasuk pemandu ambulans yang menghantar seorang wanita berusia 75 tahun yang dijangkiti virus itu ke Pusat Perubatan Samsung di selatan Seoul pada 7 Jun, tempat pesakit itu meninggal dunia tiga hari kemudian.

Daripada 133 orang yang punca jangkitan mereka sudah dikesan, 60 daripadanya dijangkiti di Pusat Perubatan Samsung, antara hospital terbesar di Seoul.

Lima lagi kes masih disiasat untuk mengetahui bagaimana dan di mana mereka dijangkiti virus berkenaan.

Penghidap MERS pertama di Korea Selatan didiagnos pada 20 Mei lalu selepas kembali dari lawatan ke Arab Saudi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 5:06 AM