Dikhabarkan, taman tema permainan terkemuka, Disney World di Amerika Syarikat sudah pun menguatkuasakan larangan penggunaan ‘selfie stick’ di taman tema tersohor itu berkuat kuasa serta-merta.

Menurut TIME.com, selfie stick tidak dibenarkan digunakan untuk permainan lasak seperti Big Thunder Mountain Railroad dan Space Mountain, malah lebih ekstrem pihak pengurusan akan menghentikan operasi permainan itu sekiranya pekerja yang bertugas mendapati terdapat pengguna tidak mematuhi arahan larangan berselfie.

Disney World bukan organisasi pertama yang menghalang penggunaan selfie stick. Sebelum ini beberapa lokasi tumpuan pelancong, festival muzik dan acara sukan terkenal sudah pun membuat larangan sama.

Rata-rata peminat taman tema Disney tidak membantah larangan ini memandangkan mereka berasakan perbuatan mengambil gambar meng­gunakan selfie stick ketika menaiki tunggangan laju adalah berbahaya.

Selain berada di atas tunggangan, penggunaan selfie stick di sekitar taman tema masih dibenarkan. Belum ada pengesahan sekiranya arahan sama akan dikeluarkan terhadap semua taman tema Disney lain di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 10:22 AM