MOFFITT memberi penerangan mengenai aplikasi Disney Infinity 3.0
MOFFITT memberi penerangan mengenai aplikasi Disney Infinity 3.0
Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman


Jika dahulu permainan yang sinonim dengan kanak-kanak adalah gasing, congkak, konda-kondi, batu seremban dan galah panjang, kini permainan itu kian dilupakan disebabkan kewujudan kecanggihan teknologi seperti permainan video.

Bagi si penggemar permainan video khususnya peminat kartun Disney, mereka sudah pastinya sentiasa menantikan pembaharuan dan kelainan yang bakal ditampilkan syarikat terkenal The Walt Disney Company sama ada melalui filem mahupun permainan video.

Di atas kejayaan dan sambutan hangat pada edisi Disney Infinity 1.0 dan 2.0, Disney Interactive kini tampil dengan permainan video hybrid, Disney Infinity 3.0.

Menurut produsernya, Jason Moffitt, dengan penambahan watak Star Wars, Inside Out, Disney dan Marvel, Disney Infinity 3.0 menawarkan kelebihan menerusi pengembaraan dunia permainan yang lebih mudah berbanding edisi lama.

“Star Wars adalah francais merentas generasi. Disney Infinity 3.0 mencipta peluang yang luar biasa bagi peminat, rakan dan keluarga untuk berkumpul serta mengenang kembali detik Star Wars melalui kaedah ini,” katanya.

Moffitt berkata, menariknya, Star Wars Rise Against Empire bakal membawa penggemarnya dalam misi galaksi bersama legenda pemimpin Rebel Princess Leia Organa, Jedi Luke Skywalker, penyeludup, Han Solo dan juruterbang beliau Chewbacca untuk membantu mengalahkan Darth Vader serta menumbangkan kuasa jahat Galactic Empire.

Disney Infinity adalah platform permainan interaktif apabila pemain diberikan kebebasan untuk mencipta jalan cerita tersendiri dan pengalaman menakjubkan ketika bermain permainan video yang dibintangi watak dari Disney seluruh dunia.

Selepas kehadiran edisi Disney dan Marvel pada keluaran pertama dan kedua, kali ini Disney Infinity 3.0 didatangkan dalam set permainan Star Wars Rise Against the Empire Play yang pastinya dinanti-nantikan peminatnya.

Dibangunkan Studio Gobo dengan kerjasama Avalanche Software, permainan ini mengambil semula detik-detik ikonik yang diilhamkan daripada trilogi asal Star Wars Episod IV hingga VI.

Penampilan 3D Toy Box Hub serba baru berkenaan dilihat bakal memudahkan pemain daripada aspek pemilihan lebih banyak pengalaman yang mereka sukai termasuk platform permainan, perlumbaan dan simulasi pertanian.

Disney Infinity 3.0 boleh didapatkan untuk set hiburan komputer seperti PlayStation®4 dan PlayStation®3, Xbox One, Xbox 360, perisian Microsoft, sistem Wii UT daripada Nintendo, PC dan peranti iOS serta Android.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 8:31 AM