Zurich: Putera Ali Al Hussein yang mencabar Sepp Blatter bagi jawatan paling berkuasa dalam dunia bola sepak berkata, beliau sedih dengan skandal rasuah terbaru membabitkan badan induk dunia FIFA.

Putera Ali mengeluarkan kenyataan ringkas semalam berikutan berita enam pegawai atasan bola sepak termasuk dua naib presiden FIFA ditangkap polis Switzerland dan ditahan sementara sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat.

“Hari ini satu hari sedih buat bola sepak,” jelas Putera Ali.

Pejabat mahkamah persekutuan Switzerland berkata, pegawai yang ditangkap itu disyaki oleh penyiasat AS terbabit menerima atau membayar rasuah bernilai berjuta-juta dolar.

Masanya agak tidak tepat buat Blatter, yang dicabar Putera Ali bagi jawatan presiden FIFA, esok.

Blatter berusaha memenangi penggal kelima memimpin badan induk itu di sebalik kecaman keras terhadap kepimpinannya apabila sukan itu dibelenggu banyak dakwaan rasuah. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 7:35 AM