AFP

Zurich: Presiden FIFA Sepp Blatter berkata, beliau terkejut dengan dakwaaan badan kehakiman Amerika Syarikat (AS) yang menyasarkan badan induk itu dan mengecam kempen ‘kebencian’ yang dilakukan pemimpin Eropah.

Menerusi satu temuramah bersama televisyen Switzerland, Blatter mengesyaki penahanan tujuh pegawai FIFA pada Rabu lalu menerusi waran anti rasuah Amerika Syarikat (AS) adalah satu tindakan bagi mengganggu perjalanan kongres yang berlangsung semalam.

Bercakap mengenai insiden yang berlaku dua hari sebelum berlangsungnya proses pemilihan, beliau berkata: “Saya tidak pasti, tapi saya dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena.”

Beliau turut membidas komen terhadap FIFA yang dilakukan oleh ketua kehakiman AS Loretta Lynch.

“Sudah tentu saya terkejut. Selaku Presiden FIFA, saya tidak pernah membuat sebarang komen mengenai organisasi lain tanpa mengetahui perkara sebenar yang berlaku.

Lynch berkata, rasuah dalam bola sepak adalah berleluasa, sistematik dan mendalam, tidak kira di luar atau di AS sendiri.

Blatter berkata, AS sudah kehilangan hak penganjuran Piala Dunia 2022 kepada Qatar dan England pula gagal menjadi tuan rumah 2018 yang diberikan kepada Russia

Beliau berkata, AS adalah ‘penaja utama’ kepada Jordan, negara kelahiran Putera Ali Al Hussein, pencabar bagi kerusi Presiden FIFA.

Blatter turut membidas Presiden UEFA Michael Platini yang memintanya meletak jawatan berikutan skandal rasuah itu.

“Kebencian ini bukan saja datangnya daripada UEFA, tetapi individu dalam badan induk itu sendiri yang tidak faham saya menjadi presiden pada 1998,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan memaafkan Platini, Blatter berkata: “Saya memaafkan semua orang, tetapi tidak boleh melupakan tindakan mereka.”

Blatter memenangi kerusi Presiden FIFA semalam selepas pencabarnya Putera Ali menarik diri selepas berakhir undian pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2015 @ 5:10 AM