PIHAK berkuasa AS menyiasat sebuah hotel mewah di Zurich selepas penangkapan pegawai FIFA.
PIHAK berkuasa AS menyiasat sebuah hotel mewah di Zurich selepas penangkapan pegawai FIFA.
AFP

Zurich: Presiden veteran FIFA, Sepp Blatter berdepan gesaan supaya meletak jawatan selepas pendakwaan AS dan penangkapan beberapa pemimpin ternama sukan bola sepak dalam krisis menjelang kongres tahunan, hari ini.

Ketika Blatter bersedia memulakan kongres di Switzerland, penaja utama yang menghulurkan berjuta-juta wang termasuk Coca-Cola, Adidas, McDonald’s dan Visa, menggesa badan induk itu supaya membersihkan nama mereka.

Visa berkata, kecuali FIFA membentuk semula budaya korporat dengan amalan penuh beretika, “kami sudah memaklumkan kepada mereka kami akan mengkaji semula penajaan.”

FIFA menegaskan di sebalik penangkapan tujuh pegawai di sebuah hotel mewah Zurich awal pagi kelmarin, kongres dan pemilihan kepimpinan akan diteruskan seperti dirancang hari ini.

Namun pemimpin ternama dalam sukan itu, selain akhbar di seluruh dunia menyatakan, pendirian itu tidak boleh diterima selepas pendakwa AS mendedahkan siasatan mereka mendapati wujudnya penipuan Piala Dunia.

Pihak berkuasa AS berkata, sembilan pegawai bola sepak antara 14 orang yang berdepan kemungkinan dipenjara 20 tahun jika didapati bersalah dalam kes rasuah membabitkan sogokan lebih AS$150 juta (RM547 juta).

Penyiasat AS menyatakan pegawai Afrika Selatan membayar AS$10 juta (RM36 juta) sebagai rasuah bagi menganjurkan kejohanan 2010, manakala penyiasat Switzerland menggeledah ibu pejabat FIFA di Zurich sebagai sebahagian daripada siasatan berikutan pemilihan tuan rumah Piala Dunia 2018 kepada Russia dan 2022 kepada Qatar.

“Blatter perlu melepaskan jawatan presiden FIFA,” kata Greg Dyke, pengerusi Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris, yang kalah kepada Russia bagi kejohanan 2018 berikutan dakwaan rasuah dalam proses bidaan.

“Tiada cara untuk membentuk semula amanah dalam FIFA ketika Blatter masih berada di sana. Beliau perlu sama ada mengundur diri menerusi peletakan jawatan atau ditewaskan atau kami perlu mencari jalan ketiga,” ujar Dyke.

Blatter yang mengintai penggal kelima sebagai pemimpin badan induk itu, dicabar Putera Ali Al-Hussein dari Jordan pada pemilihan presiden FIFA, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 12:12 PM