SEPP Blatter (kiri) dan Michel Platini. GAMBAR FAIL REUTERS
SEPP Blatter (kiri) dan Michel Platini. GAMBAR FAIL REUTERS
Reuters

Zurich: Bekas Presiden Fifa, Sepp Blatter dan Michel Platini akan berdepan perbicaraan kes rasuah atas dakwaan pembayaran lebih $2 juta (RM8.4 juta) dilakukan badan induk bola sepak dunia itu kepada Platini, umum mahkamah, hari ini.

Blatter dan Platini beberapa kali menafikan perkara itu selepas pendakwa raya Switzerland mendakwa mereka, November lalu.

Pendakwa raya mendakwa Blatter secara tidak wajar mengatur bayaran kepada Platini pada 2011 atas alasan khidmat perunding.

Kedua-duanya disyaki menipu dan beberapa dakwaan lain yang dianggap skandal rasuah terbesar hingga menjejaskan imej Fifa.

Blatter yang mengemudi Fifa selama 17 tahun dan meletak jawatan pada 2015, diikuti Platini pada 2016. Kedua-duanya digantung enam tahun kerana melanggar etika.

Perbicaraan di Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland itu dijangka bermula pada 8 Jun dan berakhir pada 22 Jun, umum mahkamah itu menerusi laman web.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 10:32 PM