PASUKAN perubatan cuba merawat mangsa yang cedera dalam pertempuran antara pemberontak Houthi dengan pejuang yang menyokong kerajaan di Taiz, bandar di barat daya Yaman, semalam.
PASUKAN perubatan cuba merawat mangsa yang cedera dalam pertempuran antara pemberontak Houthi dengan pejuang yang menyokong kerajaan di Taiz, bandar di barat daya Yaman, semalam.

Sanaa: Hampir dua pertiga penduduk Yaman terputus bekalan air bersih ekoran perang yang masih berlarutan dan serangan udara tentera pakatan Arab terhadap kumpulan pemberontak di negara itu, kata agensi bantuan, Oxfam, semalam.

Ketua pengarah Oxfam di Yaman, Grace Ommer berkata, serangan udara dan pertempuran darat yang berterusan serta kekurangan bahan api menyebabkan tiga juta penduduk Yaman tidak mendapat bekalan air bersih.

“Ia meningkatkan jumlah penduduk yang tidak mendapat bekalan air bersih dan tandas kepada 16 juta orang.

“Jumlah itu bersamaan dengan jumlah penduduk Berlin, London, Paris dan Rom,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya, sebelum krisis tercetus, separuh daripada penduduk negara miskin berkenaan tidak mendapat bekalan air bersih.

Pada 26 Mac lalu, pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi melancarkan serangan udara terhadap militan Houthi dan unit tentera yang setia pada bekas Presiden Ali Abdullah Saleh.

Kumpulan pemberontak menakluki Sanaa, ibu negara Yaman pada September tahun lalu menyebabkan Presiden Abedrabbo Mansour Hadi terpaksa melarikan diri ke Riyadh.

Menurut Oxfam, serangan udara dan pertempuran yang berlarutan selama beberapa minggu menyebabkan sebahagian besar sistem rangkaian air rosak.

“Penduduk terpaksa meminum air yang tidak selamat dan mereka berisiko mendapat penyakit yang mengancam nyawa seperti malaria, taun dan cirit-birit,” kata organisasi itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 7:27 AM