MILITAN yang setia kepada kerajaan dalam buangan Yaman menaiki trak ketika bertempur dengan pemberontak Houthi di Taiz, semalam.
MILITAN yang setia kepada kerajaan dalam buangan Yaman menaiki trak ketika bertempur dengan pemberontak Houthi di Taiz, semalam.
Reuters

Sanaa: Jet pejuang tentera pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi mengebom sebuah pelabuhan di Hodieda yang dikuasai pemberontak Houthi semalam.

Serangan itu memusnahkan beberapa kren dan gudang di pelabuhan di Laut Merah yang menjadi pintu masuk utama bantuan kemanusiaan ke Yaman.

Hodeida terletak 150 kilometer ke barat Sanaa dan menjadi lokasi penting penyaluran bantuan kemanusiaan di Yaman yang terjejas teruk akibat perang yang berlarutan.

Sebelum ini, agensi bantuan turut mengadu kapal laut tentera pakatan Arab menghalang bantuan masuk ke Yaman.

Pertempuran antara kumpulan bertelagah juga berterusan di bandar Taiz dengan pemberontak cuba menghalang kemaraan pejuang prokerajaan.

Sementara itu, kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International berkata, serangan udara pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi menyebabkan ramai orang awam terkorban dan menyifatkannya sebagai jenayah perang.

Menurutnya, mereka menyiasat lapan serangan udara tentera pakatan di Yaman yang meragut nyawa 141 orang awam, termasuk kanak-kanak.

“Bukti menunjukkan corak serangan terhadap kawasan penduduk yang kebanyakannya tidak terdapat sasaran tentera berhampiran,” katanya.

Amnesty juga menyiasat 30 serangan di Aden dan Taiz oleh pemberontak Houthi yang menyebabkan 68 orang awam terbunuh.

Pemberontak Houthi yang disokong Iran menawan Sanaa, ibu kota Yaman pada September tahun lalu sebelum mara dan menguasai sebahagian besar negara itu.

Keadaan itu menyebabkan Presiden Yaman, Abed Rabbu Mansour Hadi melarikan diri ke Riyadh Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 11:00 AM