Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Penyerang Selangor Muhammad Afiq Azmi terpaksa terus menunggu untuk membuat penampilan pertama di pentas antarabangsa apabila namanya digugurkan daripada skuad Pilihan Malaysia bagi aksi menentang kelab Liga Perdana Inggeris Tottenham Hotspur di Stadium Shah Alam esok.

Selain Afiq, 26, penjaga gol Harimau Muda B Ramadhan Hamid dan pemain perancang Kedah Baddrol Bakhtiar turut tiada dalam senarai 20 akhir pemain diumumkan semalam.Bagaimanapun jurulatih Dollah Salleh mempunyai alasan tersendiri dalam menentukan pemain terbaik untuk diturunkan menentang Spurs yang hadir selepas tamat mengharungi kempen EPL kelmarin.“Saya hanya boleh mendaftarkan 20 pemain jadi terpaksa mengetepikan beberapa pemain. Baddrol mengalami kecederaan manakala Ramadhan diketepikan kerana saya hanya menyenaraikan dua penjaga gol.“Afiq terpaksa digugurkan kerana daripada lima pemain import, tiga ialah pemain penyerang. Jadi saya terpaksa korbankan Afiq untuk perlawanan dengan Spurs ini.“Tapi nama dia tetap terjamin dalam skuad kebangsaan bagi aksi persahabatan bertemu Hong Kong pada 6 Jun serta dua aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 dengan Timor Leste dan Palestin,” kata Dollah pada sesi latihan semalam.Berikutan ketiadaan Afiq yang meledak tujuh gol dalam Liga Super musim ini, Dollah akan mempertaruhkan ketajaman penyerang import Paulo Rangel dari Terengganu, Guilherme De Paula (Selangor) serta dua pemain tempatan Ahmad Hazwan Bakri (Selangor) dan Norshahrul Idlan Talaha (Terengganu).Ketiadaan Baddrol pula menyaksikan pilihan Dollah di bahagian tengah agak terhad, namun beliau masih boleh menggunakan pemain import Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ashfaq Ali yang diturunkan dari penyerang ke bahagian itu selain Joseph Kalang Tie (Sarawak), Nasir Basharuddin (Perak) serta Ahmad Syamim Yahya.Spurs kendalian Mauricio Pochettino menamatkan kempen EPL di tangga kelima musim ini dan akan tiba ke ibu negara hari ini bagi siri Jelajah Asia mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 8:32 AM