KANE (kiri) dikekang pemain  pilihan Malaysia Rony Harun.
KANE (kiri) dikekang pemain pilihan Malaysia Rony Harun.
Oleh Aziman Rosdi

Shah Alam: Jurulatih skuad kebangsaan Dollah Salleh berpuas hati dengan prestasi pemain tempatan selepas menyaksikan Pilihan Malaysia tewas tipis 1-2 di tangan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Tottenham Hotspur dalam aksi persahabatan Piala AIA di Stadium Shah Alam malam tadi.

Walaupun persembahan pasukan itu dibayangi kehadiran pemain import, Dollah tetap memuji aksi anak buahnya yang akan terus dikekalkan bagi aksi persahabatan menentang Hong Kong pada 6 Jun nanti.

“Mereka bermain baik khususnya pada babak pertama namun pemain tempatan kita masih kurang pengalaman beraksi di pentas tinggi. Perlawanan ini bagus untuk pemain bagi mengetahui tahap kemampuan mereka.

“Saya akan mengekalkan kesemua pemain tempatan dalam pasukan ini untuk bergabung dengan pemain dari Johor Darul Ta'zim (Johor DT) dan Pahang. Selepas perlawanan dengan Hong Kong baru saya gugurkan pemain untuk senarai terakhir ke pusingan kelayakan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Sebelum ini Dollah ada menyatakan akan mengekalkan hanya tujuh pemain tempatan daripada skuad yang beraksi menentang Spurs malam tadi untuk latihan pusat bersama 12 pemain dari Johor DT dan empat (Pahang) bagi menghadapi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 Jun depan.

Dalam perlawanan yang disaksikan lebih 28,000 penonton itu skuad Pilihan Malaysia yang diperkuatkan dengan lima pemain import Paulo Rangel, Guilherme De Paula, Ashfaq Ali, Robert Cornwaithe dan Thiago Junior Aquino memberi tentangan bertenaga pada babak pertama.

Namun dua gol penyerang antarabangsa England Harry Kane sudah cukup memberikan kemenangan buat anak buah Mauricio Pochettino walaupun pasukan tuan rumah membalas menerusi gol pertahanan Perak dari Brazil Junior.

Bagi Pochettino, perlawanan itu sukar bagi anak buahnya namun apa yang penting semua penyokong terhibur.

“Perlawanan yang sukar namun kami berjaya menjaringkan dua gol untuk menang.

“Ini perlawanan yang bagus untuk pasukan Malaysia apabila berpeluang beraksi dengan kelab EPL,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 8:08 AM