Subang: Penyerang import Paulo Rangel tidak sabar untuk membuktikan kepada jurulatih Dollah Salleh bahawa pemilihannya bersama skuad Pilihan Malaysia berbaloi bagi aksi Piala AIA menentang Tottenham Hotspur di Stadium Shah Alam, malam ini.

Malah selaku peminat Chelsea, dia pasti lebih bermotivasi meledak gol ke atas musuh tradisi kelab London itu yang dianggap peluang terbaik dalam kariernya.

“Saya sudah bersedia membantu pasukan menentang Spurs. Persefahaman antara pemain semakin baik selepas aksi persahabatan dengan Sime Darby.

“Saya akan cuba beri yang terbaik kerana ini peluang keemasan dalam hidup dan karier saya. Saya harap semua penyokong gembira menyaksikan perlawanan ini,” katanya.

Pemenang kasut emas Liga Super tahun lalu itu antara lima pemain import Liga M selain Ashfaq Ali (PDRM), Thiago Junior Aquino (Perak), Robert Cornthwaite dan Guilherme De Paula (Selangor) yang diserap Dollah dalam skuad pilihan Malaysia.

Keputusan itu diambil selepas pengendali negara itu kehilangan hampir separuh pemain selepas pemain Johor DT dan Pahang terbabit dalam kempen Piala AFC.

Rangel, 30, kelahiran Brazil yang kini mewakili Terengganu mengakui tidak pernah berpeluang beraksi menentang kelab Liga Perdana Inggeris sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 8:48 AM