KEHADIRAN ramai bintang baru membuatnya bekerja lebih keras.
KEHADIRAN ramai bintang baru membuatnya bekerja lebih keras.
Oleh Georgie Joseph


Namanya barangkali lambat popular berbanding pelakon lain di Korea Selatan, namun semangat juangnya cukup membara.

Joo Sang Wook, 36, tidak pernah berasa sinarnya malap meskipun terpaksa berasak merebut tawaran dengan pelakon yang jauh lebih muda daripadanya.

Sang Wook yang mula melakar nama sejak 2010 sebelum memenangi anugerah Bintang Baru Terbaik untuk Anugerah Drama SBS pada tahun sama mengakui dia tidak malu jika dibandingkan dengan pelakon muda.

“Saya boleh dikategorikan sebagai bintang yang sudah berusia tapi lebih suka meletakkan diri sebagai orang baru. Saya terfikir juga untuk memenangi anugerah lagi tapi jelas untuk tahun ini saingannya terlalu sengit.

“Saya tidak pernah rasa malu setiap kali dibandingkan dengan orang baru yang jauh lebih muda daripada saya kerana pencapaian saya pun belum tahap seperti Lee Min Ho dan Kim Soo Hyun.

“Kalau berusaha lebih keras, saya pasti mampu menjadi antara tiga yang disebut-sebut menjadi pujaan peminat selain Spp Hyun, Min Ho, Woo Bin, ataupun Lee Jong Suk,” selorohnya.

Apapun, Sang Wook sudah menentukan bagaimana hala tujunya untuk mencapai kepuasan dalam bidang lakonan.

Baginya, cabaran demi cabaran terutama pembahagian watak yang dicarinya untuk memastikan pencapaian peribadinya sendiri tertunai.

Mana tidaknya, barangkali atas dasar faktor umur dia kerap diberikan watak sebagai ketua malah dilabel sebagai raja watak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) tegar.

Disebabkan itu, dia mahu lari daripada stereotaip dan sebenarnya semakin bosan apabila kerap diberikan watak sama.

“Ia makin bosan dan kurang memberi inspirasi apabila diberikan watak sama berulang kali. Terima kasih kepada produksi drama Sly and Single Again dan Birth of a Beauty, akhirnya saya dapat lari daripada watak stereotaip.

“Untuk projek-projek seterusnya, saya memang berazam untuk memastikan saya dapat mencuba sesuatu yang cukup berbeza pula,” katanya.

Bercerita mengenai watak yang diidamkan, Sang Wook berkata, paling penting wataknya tidak akan berkait mengenai watak CEO lagi.

“Saya belum memutuskan watak yang paling tepat untuk saya cuba selepas ini namun teringin melakukan sesuatu berkisar zaman purba. Saya rasa saya mampu untuk menjayakan watak seorang raja atau pahlawan.

“Sewaktu membintangi Queen Seondeok, ramai mengatakan saya serasi dengan drama sebegitu. Saya sendiri pun menyukainya kerana produksi dari segi kostum, rambut, senjata, hinggalah menunggang kuda sangat menyeronok­kan,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai drama terbaru­nya berjudul Birth of a Beauty, baginya sepanjang penggambaran pengalamannya seronok saja terutama mendapat pasukan produksi yang lucu.

Ditanya bagaimana dia menjayakan keserasiannya dengan watak wanita utama lakonan Han Ye Seul, bagi­nya tidak susah pun.

“Bagaimana penonton melihat wataknya di skrin, begitulah sebenarnya watak sebenar dia di luar. Ye Seul seorang yang sangat lucu, riang dan sentiasa optimis,” katanya.

Drama ini ditayangkan setiap Isnin jam 7.40 malam menerusi saluran ONE HD (Astro 393).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 12:35 PM