PENGARAH Along With The Gods rancang padukan tiga segmen jadi dua filem.
PENGARAH Along With The Gods rancang padukan tiga segmen jadi dua filem.
BARISAN pelakon Along With The Gods: The Two World.
BARISAN pelakon Along With The Gods: The Two World.
Amirul Haswendy Ashari


Diam tak diam, filem genre fantasi Along With The Gods: The Two Worlds melewati 10 juta tontonan sejak ditayangkan di Korea Selatan pada 22 Disember lalu, sekali gus menjadi filem negara berkenaan ke-16 yang berjaya mencapai tahap itu.

Menurut penerbitnya Lotte Entertainment, filem itu mencapai jumlah kumulatif 10,000,198 penonton tepat jam 12 tengah malam pada Khamis, minggu lalu yang juga hari ke-16 tayangan.

Ia menjadi filem kedua yang mengatasi kejayaan filem tempatan berjudul A Taxi Driver, tempat ke-16 untuk keseluruhan filem Korea Selatan dan ke-20 seandainya menyenaraikan sekali filem asing.

Sebelum ini, Train To Busan pernah menduduki tempat kedua berkongsi dengan A Taxi Driver.

Pengarah Along With The Gods: The Two Worlds, Kim Yong Hwa berkata, dia gembira dapat berkomunikasi dengan ramai orang.

“Saya cuba memenuhi pengharapan anda dengan menghasilkan siri kedua dengan baik juga. Saya harap filem ini memanaskan penonton selepas ini.

“Ada tiga episod daripada komik web asal tapi kami mencapai persetujuan dengan pelabur bahawa kami menghasilkan tiga segmen itu menjadi dua filem.

“Jujurnya bagi saya, segmen ketiga berjudul Shn Hwa (The Myth) adalah lebih menarik. Maka, saya mahu menjadikannya filem dan kerana itu juga saya gabungkan episod satu dan dua terlebih dahulu,” katanya.

Kim juga mengarah filem 200 Pound Beauty, Mr Go dan Take Off.

Katanya, andai diizinkan untuk dihidupkan semula seperti dalam cerita filem terbaru arahannya, dia tetap mahu bergelar pengarah filem.

Kim berpendapat kehidupan sebagai pengarah lebih dinamik walaupun mencabar dan banyak tekanan.

Dia akui mempunyai pelbagai perasaan ketika penggambaran dan sewaktu menonton hasil akhir filem ini. Baginya, hari terakhir penggambaran adalah yang paling diingati.

Seperti mana hasil kerjanya sebelum ini, selepas habis berkarya dia mempunyai emosi ‘masam-masam manis’.

“Filem ini mengambil masa lebih panjang berbanding filem sebelum ini. Ia buatkan saya lebih beremosi apabila tamat. Saya juga buat kali pertama menangis di set penggambaran,” katanya.

Disenangi ramai pelakon, Kim pernah dikatakan menerima sejambak bunga daripada pelakon Joo Ji Hoon kerana sikapnya yang disenangi.

Ketawa saat menjawab soalan itu, Kim mendakwa Ji Hoon menipu kerana tidak pernah memberikan sebarang hadiah. Sebaliknya Kim mendakwa dia yang selalu membayar untuk makan minum mereka.

“Malah, saya memberi kad kredit saya kepada mereka sebelum keluar. Ji Hoon tidak beri sebarang hadiah tapi menambah hutang saya!” katanya secara berseloroh.

Dia berpendapat Ji Hoon ialah rakan baik dan sangat menyayanginya. Malah, Kim berpendapat pelakon itu jujur dan hebat.

Tae Hyun gembira dapat hibur peminat di Malaysia

Cha Tae Hyun yang membawa watak utama sebagai anggota bomba bernama Kim Ja Hong gembira kerana akhirnya dapat kembali menghiburkan peminat di Malaysia.

Sebelum ini Tae Hyun popular dengan drama My Sassy Girl dan drama The Producers.

“Sudah lama tidak bertemu dengan peminat di Malaysia. Dengan adanya filem baru ini, saya sangat gembira. Dalam filem ini, saya percaya dapat tunjukkan sesuatu yang berbeza berbanding My Sassy Girl dan The Producer.

“Saya pasti filem ini memenangi simpati semua peminat. Banyak babak menarik di dalamnya. Saya percaya peminat Malaysia akan lebih jatuh cinta berbanding My Sassy Girl,” katanya.

Ditanya bagaimana dia mahu peminat mengingatinya selepas dia meninggal dunia, Tae Hyun berharap mereka dapat mengingatinya sebagai pelakon yang bagus.

Dalam pada itu, seandainya dilahirkan semula, Tae Hyun mahu dilahirkan sebagai anak ibunya dan menjadi anak yang baik, hajat yang sama ditampilkan wataknya dalam filem Along With The Gods.

Ditanya apa perkara paling mahu dilakukannya dalam hidup, Tae Hyun tidak terfikir mengenai itu.

“Setakat ini belum terfikir apa-apa pun. Setakat ini kehidupan saya agak berjaya lebih daripada apa yang saya pernah harapkan atau impikan sebelum ini.

“Mungkin sebab itulah saya tiada keinginan lain yang mahu dilakukan pada masa ini,” katanya.

Along With The Gods: The Two Worlds adalah rendisi pertama yang menggabungkan dua siri daripada keseluruhan tiga yang diangkat daripada sebuah ‘webtoon’ karya Joo Ho Min.

Selain Tae Hyun, filem ini dibintangi Ha Jung Woo, Joo Ji Hoon, Lee Jung Jae dan Kim Hyang Gi.

Untuk rendisi ini, ia mengisahkan seorang ahli bomba yang meninggal dunia ketika menyelamatkan seorang kanak-kanak perlu melalui fasa keadilan di tujuh jenis neraka selama 49 hari selepas kematiannya.

Perjalanannya dipandu tiga malaikat maut yang juga bertindak sebagai ‘peguambela’ pada setiap peringkat pengadilan.

Filem ini ditayangkan secara pengenalan di beberapa pawagam Malaysia terpilih sejak Khamis lalu dan secara keseluruhan pula bermula 18 Januari ini.

Rendisi kedua filem ini berjudul Along With the Gods: The Last 49 Days dijangka ditayangkan pada musim panas tahun ini.

(Penulis hadir pada tayangan perdana filem Along With The Gods: Two Worlds di Seoul, Korea Selatan, baru-baru ini)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 4:47 AM