Oleh Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Skuad Taktikal Khas Antimaksiat, Perjudian dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggempur 17 premis ejen judi haram di Kulaijaya, Nusajaya dan Seri Alam, Johor Bahru, jam 3 petang tadi.

Ketua Penolong Pengarah Skuad Tektikal 3 Bukit Aman, Asisten Komisioner Khairi Arsa berkata, serbuan itu dilakukan serentak di tiga lokasi terbabit.

"Dalam serbuan itu seramai 19 individu termasuk ejen judi ekor haram iaitu 13 lelaki dan enam wanita berusia 20 hingga 56 tahun ditahan.

"Turut ditahan tiga individu kerana membeli nombor ekor berusia 30 dan 40 tahun," katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Menurutnya, semua barang rampasan dan individu berkenaan diserahkan kepada IPD berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

Operasi itu disertai seramai 95 pegawai dan anggota STAGG.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 7:39 PM