ANTARA lokasi yang diserbu. FOTO ihsan Polis
ANTARA lokasi yang diserbu. FOTO ihsan Polis
Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Skuad Taktikal Khas Antimaksiat, Perjudian dan Gangsterisme (STAGG) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman menyerbu 20 premis judi ekor dan menahan 27 ejen judi serta lima pembeli, di tiga kawasan di Perak, semalam.

Dalam serbuan serentak di premis membabitkan kedai runcit, kedai telekomunikasi, restoran serta rumah pada 5 petang itu, STAGG turut merampas wang tunai RM20,960 serta beberapa barangan lain seperti 23 pencetak mudah alih, 35 helai kertas judi dan 751 kertas kosong.

Ketua Penolong Pengarah STAGG Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, STAGG menyerbu tiga kawasan iaitu di Tanjung Rambutan, Pekan Chemor di Ipoh dan Pekan Kampar selepas menerima maklumat dari orang awam.

Menurutnya, dalam serbuan itu, 27 ejen judi ekor dan lima pembeli ditahan iaitu 18 lelaki dan 14 wanita berusia antara 31 hingga 62 tahun.

"Semua yang ditahan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan IPD Kampar dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4A(a), Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 9(1) Akta Judi Rumah Terbuka 1953.

"Polis turut menahan seorang pelanggan kerana disyaki menjadi ahli kongsi gelap dan disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2016 @ 2:29 PM