Deputi Superintendan Hussin Mat Junus menyoal siasat seorang ejen judi tak berlesen. FOTO ihsan PDRM
Deputi Superintendan Hussin Mat Junus menyoal siasat seorang ejen judi tak berlesen. FOTO ihsan PDRM
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop


Taiping: Seorang lelaki yang juga ejen judi tak berlesen berpura-pura sakit jantung ketika premisnya, di sini, diserbu sepasukan pegawai dan anggota Skuad Taktikal Khas Antimaksiat, Perjudian dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman.

Dalam serbuan 1.45 petang tadi di beberapa kawasan di daerah Larut Matang, temberang lelaki berusia 50 tahun itu terbongkar apabila pemeriksaan dijalankan di klinik mendapati dia tiada masalah kesihatan.

Ketua Penolong Pengarah STAGG, Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, lelaki itu kemudiannya ditahan bersama 31 orang termasuk 10 wanita dalam serbuan di 23 premis judi tak berlesen .

Menurutnya, semua suspek yang ditahan berusia antara 22 hingga 65 tahun termasuk seorang lelaki yang sedang membeli nombor ekor.

“Kita merampas wang tunai lebih RM15,000, 49 telefon bimbit, 29 pencetak kecil, 75 slip kertas, 19 kalkulator , 42 pen serta pensil dan 48 gulung kertas pencetak dipercayai digunakan dalam kegiatan perjudian.

"Operasi dijalankan 127 pegawai dan anggota STAGG Bukit Aman membabitkan kawasan Kuala Sepetang, Matang, Changkat Jering,Simpang, Kemunting, Kampung Boyan dan Bandar Taiping.

"Semua rampasan diserahkan ke Balai Polis berhampiran untuk siasatan mengikut Seksyen 4A(a) Akta Judi Rumah Terbuka yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun dan denda tidak kurang dari RM20,000 dan tidak lebih RM200,00," katanya.

Menurut Khairi, siasatan turut dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) ke atas penganjur terbabit.

Keterangan Gambar:

PIX: Antara yang dirampas dalam serbuan dijalankan STAGG Bukit Aman di 23 Premis.

Tamat///18

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 8:39 PM