BUCHAREST (Romania): Padah mahu berselfie di tempat pelik, seorang remaja perempuan berusia 18 tahun mati selepas tubuhnya hangus terkena renjatan elektrik ketika berselfie di atas bumbung kereta api elektrik yang berhenti di wilayah utara Romania.

Dalam kejadian Jumaat lalu, Anna Ursu, dikejarkan ke Hospital St Spiridon, Iasi, akibat seluruh tubuhnya melecur selepas terpegang kabel voltan tinggi di atas bumbung kereta api manakala rakannya dirawat di Hospital St Maria tetapi hanya cedera ringan.

Anna kemudian dipindahkan ke Hospital Kebakaran Bucharest Burns tetapi meninggal dunia Ahad lalu.

Menurut jurucakap hospital itu, Anisia Iliescu, mustahil untuk menyelamatkan remaja itu kerana seluruh tubuhnya melecur teruk. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 6:20 PM