PEMAIN Politeknik Terengganu mempamerkan trofi kejuaraan.
PEMAIN Politeknik Terengganu mempamerkan trofi kejuaraan.
Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

Melaka: Pasukan Politeknik Terengganu muncul juara kategori lelaki Kejohanan Sofbol Inter Politeknik Malaysia Ke-2 di padang Universiti Teknologi Malaysia (UTeM), baru-baru ini.

Kejohanan yang disertai sembilan lelaki dan lapan wanita itu turut menyaksikan Politeknik Kedah berpuas hati selaku naib juara dan tuan rumah Politeknik Melaka ketiga.

Kategori wanita pula menampilkan kehebatan Politeknik Kedah sebagai juara, Politeknik Johor kedua dan Politeknik Pahang ketiga.

Kejohanan anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik menerusi Majlis Sukan Politeknik dan mendapat kerjasama penuh Persatuan Sofbol Malaysia, bertujuan mencungkil potensi bakat pelajar politeknik dalam sukan itu dengan harapan ada antara mereka terpilih mewakili negara.

Pengerusi Teknikal Sofbol Politeknik Malaysia Saiful Azizi Abdullah berkata penyertaan yang semakin memberangsangkan tahun ini sedikit sebanyak menjadikan sukan sofbol antara sukan popular di kalangan warga politeknik.

“Kami serius dalam menganjurkan kejohanan seperti ini kerana pada saya bakat pelajar perlu ditampilkan secara maksimum di samping melahirkan bakal pemain negara,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan menganjurkan Kejohanan Jemputan Politeknik Malaysia 2015 di padang Skin Diomand Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun Terengganu pada pertengahan September nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 12:23 PM