SAMSUL (tengah) bergambar kenangan sambil memegang sijil MBOR di Sekolah Kebangsaan Intan Perdana, Port Dickson, semalam. FOTO Mohd Khidir Zakaria
SAMSUL (tengah) bergambar kenangan sambil memegang sijil MBOR di Sekolah Kebangsaan Intan Perdana, Port Dickson, semalam. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


PERISTIWA diserang gajah antara cabaran dihadapi Samsul Anuar Amat Kasi, 47, yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan dan 52 peserta lain dalam usaha mencatat nama dalam Malaysia Book Of Record (MBOR).

Dia yang lebih dikenali sebagai Cikgu Samsul bersama peserta dari pelbagai jabatan kerajaan termasuk dua lagi rakan OKU penglihatan dan kudung kaki kanan memulakan misi di Teluk Kemang, Port Dickson pada 10 Mac lalu.

Kumpulan itu berjaya menamatkan kayuhan sejauh 1,578.3 kimometer (km) selama 16 hari yang berakhir semalam, sekali gus mencatat rekod kayuhan basikal secara berkumpulan (cacat visual) paling jauh.

Kayuhan itu dijayakan dengan kerjasama Persatuan Sukan OKU Penglihatan Negeri Sembilan sempena program Kayuhan Basikal Jelajah Malaysia 2018 yang berakhir di Sekolah Kebangsaan (SK) Intan Perdana, Port Dickson.

Samsul berkata, insiden yang tidak dapat dilupakan itu berlaku pada hari ketujuh kayuhan ketika dalam perjalanan dari Jeli, Kelantan ke Gerik, Perak.

Menurutnya, sebaik tiba di Kilometer 107.2 Lebuhraya Timur-Barat, dia mendengar jurumudinya, Huzaimi Abdullah menjerit memberi amaran berhubung kehadiran gajah.

“Belum sempat saya bertanya semula, tiba-tiba saya seperti disepak dan terpelanting ke longkang di tepi jalan. Ketika itu masing-masing tidak dapat berbuat apa-apa dan saya hanya mendengar suara menyuruh meniarap dan menundukkan kepala.

“Nasib baik polis pengiring berjaya mengalihkan tumpuan gajah yang kemudian meninggalkan kami. Mujur saya dan dua lagi peserta hanya cedera ringan,” katanya ketika ditemui ketika majlis penyampaian sijil MBOR, semalam.

Penyampaian sijil disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan Negeri Sembilan Datuk Tun Hairudin Abu Bakar, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan Pkharudin Ghazali dan Pengurus MBOR, Lee Pooi Leng.

Dua lagi rakan OKU yang turut terbabit dalam misi sama ialah Mohd Shahir Ramli, 28, (OKU penglihatan) dan Azman Yeop Akil, 48, yang dibantu jurumudi masing-masing.

Samsul berkata, walaupun basikal terpaksa dibaiki, tetapi mereka dapat meneruskan perjalanan sehingga tiba ke destinasi mengikut perancangan asal.

Dia yang juga ketua jelajah berkata, kejayaan itu sekali gus memecahkan rekodnya sendiri apabila berjaya membuat kayuhan sejauh 316 kilometer ketika Jelajah Seluruh Negeri Sembilan pada 2015.

“Kejayaan ini adalah satu kepuasan bagi saya dan membuktikan kecacatan bukan penghalang untuk kita melakukan sesuatu diminati.

“Setiap lokasi yang kami singgah memang ada acara sambutan menjadikan kami lebih teruja," kata guru kaunseling di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Undang Rembau itu.

Samsul berkata, dia menjadi buta selepas ditimpa sakit pada 2004 dan sejak itu bertekad mahu melakukan sesuatu yang boleh menyumbang kepada negara dan bukan menumpang atas alasan cacat penglihatan.

Katanya, dia berterima kasih kepada kerajaan Negeri Sembilan yang menaja yuran MBOR dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang menaja penginapan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 2:12 PM