AKSI peserta  kategori antarabangsa.
AKSI peserta kategori antarabangsa.

Kuantan: Politeknik Muadzam Shah (PMS) menjadi tuan rumah Kejohanan Catur Terbuka Antarabangsa Politeknik Malaysia yang disertai 230 peserta, baru-baru ini.

Turut mengambil bahagian, Indonesia dan Filipina.

Sebanyak lima kategori dipertandingkan membabitkan kategori peserta Institut Pengajian Tinggi (IPT), politeknik Malaysia, sekolah rendah dan menengah serta terbuka.

Penyelaras Kejohanan Mohd Faiz Razali yang juga Ketua Unit Sukan PMS berkata, kejohanan itu diadakan bagi memilih wakil IPT ke pertandingan catur peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Sambutan sungguh menggalakkan. Senario ini menggambarkan fenomena baru dalam sukan catur peringkat IPT negara masa kini,” katanya.

IPT yang mengambil bahagian termasuk Universiti Malaya, UPNM, USM, UIAM, UPSI, UKM dan Kolej Mara Banting.

“Kami juga menyelitkan kategori peringkat sekolah bagi memberi pendedahan intensif di samping menyuburkan budaya meminati sukan catur dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Filipina mendominasi peringkat akhir dengan menguasai tempat pertama hingga keempat kategori terbuka manakala Politeknik Merlimau, Melaka menguasai acara politeknik.

Juara kategori sekolah rendah pula menjadi milik Sekolah Kebangsaan Buluh Nipis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 6:23 AM