Kuala Lumpur: FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) meluaskan urus niaga biodieselnya di China dengan penghantaran pertama 6,000 tan metrik metil ester sawit ke Pelabuhan Nansha, Guangzhou, China.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah berkata, penghantaran itu adalah perkembangan penting untuk perniagaan biodiesel FGV.

“Dengan kejayaan menembusi pasaran China, FGV berada pada kedudukan yang baik untuk mencapai sasaran strategi pertumbuhan biodieselnya.

“China adalah antara pasaran biodiesel terbesar di dunia. Memandangkan keperluan tenaganya yang tinggi dan pergantungan kepada import biodiesel, kami boleh memenuhi permintaan itu kerana Malaysia adalah pengeksport terbesar metil ester sawit,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, ketika ini FGV menyumbang 31.59 peratus daripada eksport metil ester sawit Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 5:15 AM