Seoul: FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) yakin dapat menjana perolehan lebih tinggi daripada aktiviti hiliran berkaitan sawit dan minyak sawit dalam tempoh satu hingga dua tahun dengan meneroka barisan produk baru dan meningkatkan kapasiti pengeluarannya.

Ketua Kluster Sawit Hiliran Datuk Zakaria Arshad berkata, syarikat perladangan sawit ketiga terbesar dan pengeluar minyak sawit terbesar di dunia itu sedang mempertimbangkan ramen atau industri mi Jepun serta industri kosmetik berasaskan sawit.

“Kami sudah mengenal pasti sebuah syarikat Korea Selatan yang ingin kami bekerjasama dalam industri ramen dan kami sedang berunding dengan mereka,” katanya pada Pameran dan Seminar Perdagangan Minyak Sawit (POTS) Malaysia-Korea Selatan selama dua hari di Seoul, baru-baru ini.

FGV adalah peserta pameran pada acara itu yang bermula pada 27 April lalu.

Beliau berkata, jika kerjasama itu menjadi kenyataan, ia akan menjadi sinergi kepada strategi perniagaan keseluruhan FGV untuk meluaskan barisan produknya melalui kemudahan pengeluaran di Malaysia dan China.

Dalam segmen perniagaan hilirannya, FGV menghasilkan produk ‘canola’ dan kacang soya serta oleokimia. FGV mempunyai kepentingan dalam kemudahan pemprosesan hiliran dan penapisan minyak sawit di Malaysia, Indonesia, China, Turki dan Afrika Selatan serta kemudahan bagi lemak dan minyak lain di Amerika Syarikat.

“Kita boleh memanfaatkan pasaran bagi Ramen halal melalui kemudahan pengeluaran di China dan Malaysia,” katanya sambil menambah Korea Selatan turut melihat Malaysia sebagai pembekal minyak sawit yang berkualiti.

Zakaria berkata, terdapat banyak potensi dalam pasaran Korea Selatan seperti dalam industri biodiesel, sektor makanan tambahan dan penjagaan diri serta kecantikan yang berkembang pesat. -BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 7:48 AM