Zuliaty Zulkiffli


Pokok Sena: Jenazah Pegawai Tidak Tauliah (PTTK) dari Batalion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi Misi Pasukan Nations Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), Sarjan Faridah Abd Rahman selamat dikebumikan, hari ini.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Anwar, Kampung Tengah, Tualang jam 10.20 pagi.

Allahyarham dikebumikan berhampiran pusara adiknya, Muhammad Farihan yang meninggal dunia pada 2013 akibat penyakit asma.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Faridah, 39, tiba jam 9 pagi di perkarangan masjid dan diberikan penghormatan terakhir oleh ahli keluarga dan sahabat handal yang dihadiri lebih 500 orang termasuk pegawai dan anggota Tentera.

Jenazah Faridah sebelum itu tiba di Kolej Tentera Udara (KTU) Alor Setar di Kepala Batas, jam 8.10 pagi selepas diterbangkan dari Pangkalan Udara Subang, Selangor.

Panglima Angkatan Bersama Leftenan Jeneral Datuk Noor Mohd Akmar Mohd Dom turut mengiringi jenazah serta memberikan penghormatan terakhir kepada Faridah.

Terdahulu, jenazah Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam itu disembahyangkan dan diberi penghormatan terakhir sebelum diterbangkan menggunakan pesawat TUDM C-130H Hercules.

Jenazah disolatkan oleh diimamkan Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Pengurusan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Brigedier Jeneral Mohd Hamzah Adam.

Sebelum ini, majlis penghormatan jenazah dilaksanakan mengikut tradisi ketenteraan oleh pihak UNIFIL bertempat di Lapangan Terbang Antarabangsa Rafik Hariri, Khamis lalu.

Tetamu kenamaan yang hadir memberikan tabik hormat ketika keranda jenazah diusung dan diletakkan di tengah-tengah medan dibaluti bendera UNIFIL.

Majlis itu turut dihadiri Komander UNIFIL, Leftenan Jeneral Aroldo Lazaro; Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Azri Mat Yaacob; Panglima 5 Briged (LAF), Brigedier Jeneral Ahmad Saadeh; Komander Sektor Barat, Brigedier Jeneral Enrico Fontana serta Komander MALBATT 850-11, Kolonel Burhan Sagoni.

Media sebelum ini melaporkan, Faridah disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung selepas rebah sebaik tiba di Lubnan, Sabtu lalu.

Keputusan awal bedah siasat diperoleh pada 20 Mei lalu dan mengesahkan arwah meninggal dunia akibat cardiopulmonary arrest due to 'myocardial ischemia/thrombosis' atau serangan sakit jantung.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memaklumkan, ia berasaskan keputusan bedah siasat Allahyarham yang dijalankan pihak Hospital Hammoud, Saida, Lubnan.

Allahyarham disahkan meninggal dunia pada jam 2.25 pagi waktu Lubnan, Sabtu (7.25 pagi waktu Malaysia).

Faridah meninggalkan empat anak iaitu tiga perempuan dan seorang lelaki berusia antara empat hingga 13 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 10:47 AM